TELUPID: 5 Oktober 2026 – Karnival PMKS Sabah 2026 Zon Telupid yang berlangsung di Dataran Tamu Pekan Telupid dari 2 hingga 4 Oktober menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 30 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), 60 penjaja, dan kehadiran dianggarkan sekitar 3,000 pengunjung.
Program itu menghimpunkan usahawan dari Telupid dan beberapa kawasan lain di Sabah untuk memperkenalkan produk masing-masing, sekali gus membuka peluang meluaskan pasaran melalui interaksi langsung dengan pengguna.
Antara peserta yang memperoleh pengalaman positif ialah Juhasmi Hafis, atau lebih dikenali sebagai Kak Jue, pengusaha keropok berasaskan ikan dan sagu rumbia dari Sandakan.

Beliau berkata sambutan pengunjung terhadap produknya melebihi jangkaan, lebih-lebih lagi Telupid merupakan lokasi pertama penyertaannya dalam program itu.
“Pada awalnya, saya menjangkakan sambutan mungkin tidak begitu menggalakkan kerana Telupid sebuah pekan kecil. Namun, alhamdulillah, sambutannya sangat luar biasa dan pada hari terakhir, stok produk kami tinggal sedikit,” katanya.
Menurut Juhasmi, penyertaan dalam program seumpama itu penting untuk memperkenalkan produk kepada pelanggan baharu, khususnya mereka yang belum mengenalinya melalui media sosial.
Beliau mengetengahkan pelbagai produk berasaskan ikan dan sagu rumbia, termasuk keropok keping, produk sejuk beku dan makanan sedia dimakan.
Juhasmi, yang menerima lima jenis mesin dan peralatan dari MINDET pada 2025, berharap sokongan terhadap usahawan tempatan diteruskan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengembangkan perniagaan.
Sementara itu, Puan Azie, pengusaha minuman dan produk kesihatan, melahirkan rasa puas hati terhadap sambutan pengunjung sepanjang program itu.

Majlis penutupan karnival itu disempurnakan oleh Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum.
Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran program itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan, khususnya di Telupid, melalui perkongsian pengalaman, promosi produk dan penerokaan potensi perniagaan.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan penganjuran program seumpama itu pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan dan membantu usahawan PMKS mengembangkan perniagaan mereka.

