KOTA KINABALU: 2 Oktober 2026 — “Jangan jadi mangsa buli atau pembuli.” Itu pesanan Pegawai Penyiasat Jenayah Komersil IPD Kota Kinabalu, Insp Narendran A/L Rajenderey, kepada 300 murid Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong dalam Program Generasi Selamat, Sihat dan Prihatin, 30 September lalu.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Moral sekolah berkenaan. Tujuannya meningkatkan kesedaran mengenai jenayah juvana, penipuan dalam talian, buli dan kesihatan remaja.

Dua ceramah disampaikan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Insp Narendran mengingatkan murid supaya menjauhi salah laku disiplin.

“Murid perlu jelas mengenai kesan buruk buli terhadap mangsa dan implikasi perundangan berat yang bakal dihadapi sekiranya mereka memilih menjadi pelaku jenayah,” katanya.
Ceramah itu juga memfokuskan taktik penipuan dalam talian yang semakin kerap menyasarkan remaja.
Pegawai Perubatan HQE II, Dr Safini Mat Ali, memberi pendedahan mengenai kepentingan derma darah untuk menyelamatkan nyawa pesakit anemia dan kanser.

Beliau menjelaskan satu beg darah boleh diproses kepada tiga komponen berbeza, iaitu sel darah merah, plasma dan platelet.
Guru Praktikal SMK Kolombong, Evan Osbent, menyifatkan inisiatif itu mampu memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi pelapis sejak di bangku sekolah.

Pengurusan sekolah akan terus memantau tahap disiplin murid dan memperkukuh kesedaran melalui aktiviti bimbingan kaunseling secara berkala bersama ibu bapa.

