Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TENOM: 1 Oktober 2026 – Pejabat Daerah Kecil Kemabong menerima secara rasmi aset Rumah Panjang Murut dan Lansaran Pekan Kemabong yang menyediakan ruang untuk penduduk menjalankan kegiatan masyarakat dan kebudayaan.
Menurut kenyataan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri Negeri Sabah (ICU JPM Sabah), projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Kerajaan Negeri Sabah telah siap dan diserahkan secara rasmi, kelmarin.
Sebagai sokongan penggunaan kemudahan itu, pemantauan akan diteruskan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) selama 12 bulan untuk memastikan sebarang kecacatan yang dikenal pasti dapat diambil tindakan pembaikan dengan segera demi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, projek ini bertujuan memelihara warisan masyarakat Murut dan menyokong pengembangan ekonomi komuniti pedalaman.
Fasa kedua projek melibatkan penambahan bilik seminar, bilik rakaman, bilik kraftangan dan kios untuk memperkukuh fungsi kemudahan sebagai pusat aktiviti komuniti setempat.
Dengan adanya kemudahan tersebut, penggiat seni dan pengusaha kraftangan tempatan kini mempunyai ruang yang lebih kondusif untuk berkarya, berkongsi kemahiran dan mempromosikan hasil kraf kepada pengunjung, sekali gus mewujudkan peluang penjanaan pendapatan melalui pengembangan aktiviti pelancongan berasaskan budaya.
Penglibatan penduduk dalam mengisi dan menjaga kemudahan ini penting agar rumah panjang terus menjadi pusat pertemuan masyarakat dan tempat generasi muda mengenali warisan Murut.

