ESSCOM Beluran rekod tindakan penguatkuasaan, rampasan RM407,644.69

NEWS MP

Oleh: Nurul Fazliana Norman

BELURAN: 1 Oktober 2026 – Operasi Bersepadu Daerah Beluran pada 28 dan 29 September lalu merekodkan tindakan penguatkuasaan dan rampasan bernilai RM407,644.69. Pemeriksaan melibatkan 70 premis perniagaan dan 170 kenderaan.

Operasi diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu melibatkan 184 pegawai dan anggota dari pasukan keselamatan, termasuk jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tindakan penguatkuasaan mencatat nilai RM293,450.16, meliputi kompaun, saman, tunggakan bayaran dan tindakan di bawah undang-undang agensi masing-masing. Rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai dianggarkan RM114,194.53 termasuk duti.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengeluarkan enam kompaun bernilai RM159,000, empat notis pematuhan dan arahan bayaran tunggakan RM48,100.16. Jumlah penguatkuasaan JTK Sabah RM207,100.16, membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 18, 58, 103 dan 104 Ordinan Buruh Sabah (Bab 67).

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan enam kompaun RM30,000 dan tujuh notis pematuhan. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeriksa 14 majikan, mengeluarkan lima notis pemeriksaan dan mengenal pasti lima kes untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) dan 43(2) Akta KWSP 1991.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 170 kenderaan, mengeluarkan 37 saman RM6,250. Majlis Daerah Beluran mengeluarkan dua kompaun RM100 terhadap premis perniagaan kerana gagal mengurus sampah.

Pasukan penguat kuasa mengenal pasti tiga lokasi disyaki tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai. Rampasan dilaksanakan di bawah Akta Kastam 1967. Semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan lanjut.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 56 individu, tiada kesalahan imigresen dikesan. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati dokumen yang dikemukakan oleh 15 individu yang diperiksa adalah tulen dan sah.

Operasi turut melibatkan PDRM, Batalion 20 PGA Beluran, ATM, JIM, JKDM, JPJ, KPDN, APM, JPN, SSM, JTK, KWSP, Majlis Daerah Beluran dan Majlis Daerah Telupid.

Operasi bersepadu ini memperkukuh penguatkuasaan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), termasuk membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi, barangan tidak bercukai dan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI).

ESSCOM menegaskan operasi seumpama itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Orang awam boleh menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.

Sumber: ESSCOM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal