Oleh: Nurul Fazliana Norman
PAPAR: 25 September 2026 – Seramai 19 pelajar Program Kosmetologi Kolej Vokasional Keningau bersama beberapa guru menyantuni hampir 40 warga emas menerusi khidmat dandanan diri di Holy Family Residence for Senior Citizens di sini pada 23 September lalu.
Program komuniti dikenali Beyond Beauty itu menyediakan pelbagai rawatan, termasuk penjagaan kuku tangan dan kaki, urutan, dan gunting rambut untuk penghuni pusat jagaan tersebut.
Projek itu menerima dana dari My Starfish Foundation menerusi Project for Happiness 2.0 selepas melalui beberapa peringkat pemilihan.
Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh wakil Holy Family Residence for Senior Citizens, Juitah Orou yang juga dikenali sebagai Sister Clara, sebelum pelajar dan guru menjalankan sesi dandanan diri.

Selain rawatan kecantikan, rombongan mengadakan aktiviti tarian dan nyanyian sebagai hiburan, termasuk meluangkan masa berbual dengan penghuni.
Kolej Vokasional Keningau turut menyumbangkan makanan dan keperluan asas hasil sumbangan warga kolej.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Lumang anak Lang, menyambut baik pelaksanaan projek komuniti berkenaan yang memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.
“Projek ini membuktikan kemenjadian pendidikan kolej vokasional dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang vokasional, malah mampu berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Holy Family Residence for Senior Citizens mengalu-alukan sumbangan orang awam untuk membantu keperluan penghuni pusat jagaan berkenaan.
Pihak pengurusan boleh dihubungi menerusi talian 088-911334 atau 013-8709800.

