Premis perjudian warga asing diserbu, 15 ditahan

NEWS PIC 11

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KUALA LUMPUR: 22 September 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 15 warga asing dalam Operasi Khas di empat premis sekitar Pandan Jaya, di sini, awal pagi 19 September lalu.

Operasi bermula jam 12.01 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan selama sebulan.

Dalam operasi itu, dua individu iaitu seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia dipercayai berperanan sebagai penjaga premis dan juruwang turut ditahan.

Turut ditahan ialah tiga lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga India dan enam wanita warga Indonesia.

Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 38 tahun.

Pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk menyalahgunakan pas yang dimiliki, tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

Dalam operasi itu, JIM turut menyita tujuh pasport Indonesia, 31 tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis termasuk wang tunai RM1,674 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Siasatan mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan perjudian secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat dan hanya dibuka kepada pelanggan tetap atau individu yang dikenali.

Premis turut dilengkapi kamera litar tertutup untuk memantau pergerakan pelanggan dan kehadiran pihak berkuasa, selain menggunakan pintu besi bermagnet yang dikawal dari dalam.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, lima lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat untuk membantu siasatan.

JIM dalam kenyataannya memaklumkan akan meneruskan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas untuk membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

Sumber: JIM WP Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal