oleh David E.
TENOM: 21 September 2026 — Sambutan Pesta Kuih Bulan dan Pesta Tanglung di Tenom mencerminkan keunikan dan kepelbagaian budaya dan agama masyarakat di daerah itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata sambutan anjuran Gabungan Persatuan Komuniti Cina Daerah Tenom itu mendapat penyertaan ramai remaja, pelajar sekolah, ibu bapa dan peniaga.
Beliau yang juga ADUN Melalap berkata penyertaan masyarakat pelbagai agama, termasuk umat Islam, dalam perarakan tanglung dan acara berkaitan menunjukkan keistimewaan Tenom.
“Ini kelebihan dan keunikan di Tenom di mana kita meraikan kepelbagaian perayaan tanpa mengira agama. Sama-sama kita meraikan.
“Selalunya Hari Raya pun mereka sama-sama meraikan, acara Krismas pun mereka turut meraikan. Inilah kepelbagaian budaya dan anutan agama di Tenom yang harus kita pupuk dan semangatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu Sabtu lalu.
Jamawi bersyukur kerana budaya berkenaan semakin subur dan berkembang di Tenom.

