oleh David E.
KENINGAU: 16 September 2026 – Rakyat kesal dengan kenyataan Datuk Noorazli Mohd Nordin yang hangat diperkatakan menjelang Hari Malaysia pada Sabtu lalu, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata kenyataan itu tidak mencerminkan semangat Hari Malaysia yang harmoni dan perlu ditangani segera.
“Permohonan maaf tanpa memberi pelbagai dalih adalah satu tindakan terhormat,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Dr Jeffrey berkata upacara rasmi di Batu Sumpah Keningau hari ini sekali lagi mengingatkan tentang sumpah setia kepada Malaysia dengan “Agama bebas dalam Sabah” sebagai yang pertama dan utama, dengan kefahaman mengekalkan keharmonian pelbagai agama.
Jelasnya, janji berasaskan upacara tradisi seperti Batu Sumpah mempunyai kesan tersendiri jika tidak ditaati, justeru Malaysia sendiri kini diperhitungkan untuk tempoh 63 tahun.
Beliau menyokong kenyataan Pertubuhan Ethnik Gana Sabah, Julian Favianus Lian @ Mohd. Hafiz, yang menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli, memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya.
Walaupun menurut Noorazli ia satu jenaka dan sindiran, Julian berkata kenyataan itu amat tidak wajar dan menyinggung perasaan.
“Kitab suci, paderi katolik dan birawati katolik tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sesebuah parti politik utama negara,” tegasnya.
Selain itu, Noorazli sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya dan memohon maaf secara terbuka kepada umum tanpa sebarang syarat kepada umat katolik dan seluruh masyarakat Kristian.

