Oleh: Nurul Fazliana Norman
SANDAKAN: 10 September 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan dua lelaki dan merampas kira-kira 28,000 liter minyak diesel disyaki diseleweng dalam operasi di sebuah jeti di Sandakan, kelmarin.
Operasi kira-kira jam 3.55 petang itu dijalankan selepas PPM menerima maklumat awam sebelum mengesan sebuah lori tangki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemindahan diesel dari sebuah kapal kargo.
Dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan diesel dari pembekal yang sah.
Selain diesel, PPM turut merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter termasuk beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.08 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, berdasarkan tempoh Januari hingga September tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 112 kes di bawah akta sama, dengan 103 tangkapan dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM25.86 juta.
Sumber: Pasukan Polis Marin W4 Sabah

