KPMM47 himpun 4,600 peserta, KPMM48 bertema “Equipped”

5D37D758 51B2 4ECB 8F94 F0AD1F5F38C8 34B198BC 9D4D 4911 8F39 0B9FA96C7C1F

KOTA KINABALU: 5 September 2026 — Konferensi Pelayanan Pemuda-Pemudi (PMM) Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah ke-47 (KPMM47) menghimpunkan 4,600 peserta sepanjang tiga hari penganjuran di Dewan KDCA, Penampang.

Konferensi bertemakan “Connected” atau “Terhubung” itu ditangguhkan secara rasmi pada 3 September, dengan peserta diseru meneruskan penghayatan tema berkenaan dalam kehidupan dan pelayanan.

Timbalan Presiden SIB Sabah, Pst. Dison Kapong, berkata tiga hari konferensi memberi penekanan kepada hubungan dengan Tuhan, sesama dan misi Tuhan, selari dengan misi SIB untuk memuliakan Tuhan dari lokal ke global.

“Konferensi ini bukan sekadar program yang kita hadiri, tetapi di dalamnya membawa tanggungjawab. Apa yang telah kita terima perlu diteruskan melalui kehidupan dan pelayanan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan.

Dison menyeru generasi muda supaya berdiri teguh dalam iman, menggunakan talenta yang diberikan Tuhan dan bersedia mengambil bahagian dalam pelayanan.

“Marilah kita menjadi generasi yang bukan hanya berkata saya hadir, tetapi saya bersedia untuk melayani, bersedia untuk diutus, bersedia menjadi saksi dan bersedia memuliakan Tuhan kerana kita sudah terhubung dengan Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PMM SIB Sabah, Pta. Hallsen Justin, menyeru generasi muda supaya menjadi cahaya di mana sahaja mereka berada, selain mengenal Tuhan, melayani dan menjadi saksi.

“Be the light wherever you are. Kerana setiap anak muda mempunyai panggilan,” katanya.

Hallsen turut mengumumkan secara tidak rasmi bahawa KPMM ke-48 pada 2027 dicadang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), sekitar Ogos atau September.

Beliau berkata KPMM48 akan membawa tema “Equipped”, berlandaskan 2 Timotius 3:17, dan pengumuman awal itu dibuat supaya peserta dapat mendoakan penganjurannya.

Dalam ucapannya, Hallsen turut menghargai komitmen lebih 300 pihak yang terlibat dalam persiapan dan pelaksanaan konferensi, termasuk pemimpin rohani, jawatankuasa, sukarelawan dan pasukan sokongan.

KPMM47 berlangsung dari 1 hingga 3 September dengan sesi pengajaran, perkongsian dan Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal