Landskap pendidikan tinggi beralih dari konvensional ke fleksibel – MQA

635f0ce9 90bb 4b27 9e0e 72a9dfee5728

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 2 September 2026 – Landskap pendidikan tinggi kini beralih dari pendekatan konvensional ke laluan pengajian lebih fleksibel untuk memenuhi perubahan keperluan pelajar, perkembangan teknologi dan tuntutan industri, kata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada Sesi Bersama Ketua Pegawai Eksekutif MQA di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pagi Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Professor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perubahan itu penting untuk menyediakan laluan pendidikan yang lebih relevan dengan pembangunan kemahiran, kebolehpasaran dan perkembangan kerjaya.

“Generasi muda kini semakin mencari alternatif kepada laluan pendidikan tinggi tradisional yang dapat menghubungkan pembelajaran secara lebih langsung dengan pembangunan kemahiran, kebolehpasaran dan perkembangan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Sesi Bersama Ketua Pegawai Eksekutif MQA di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS, di sini, pagi Selasa.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), kelayakan mikro, program mengikut permintaan dan Academic Bank of Credit (ABC).

Menurut Shatar, APEL terus berkembang sebagai mekanisme untuk mengiktiraf pembelajaran dan pengalaman terdahulu dengan 38 pusat penilaian APEL.A, 68 pusat APEL.C dan 15 pusat APEL.Q direkodkan sehingga 1 Disember 2025.

Justeru, penawaran kelayakan mikro turut menunjukkan perkembangan dengan 27,888 kursus dan 1,810 program direkodkan.

Katanya, kelayakan mikro membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang diperakui dalam bidang tertentu tanpa perlu mengikuti keseluruhan laluan pengajian konvensional.

Shatar turut berkata, pengumpulan dan pemindahan kredit membolehkan pembelajaran yang diiktiraf disumbangkan kepada kelayakan formal, dengan sehingga 30 peratus kredit boleh diberikan oleh institusi pemberi pendidikan tinggi.

Beliau berkata, pendekatan pendidikan fleksibel itu perlu terus diperkasakan untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diakses, responsif dan mampu menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

Turut hadir Dekan PPIB UMS, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UMS, Profesor Madya Agnis Sambuling, barisan ahli akademik dan kakitangan pusat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal