Orang Asal Borneo perkukuh perpaduan, pertahan hak dan budaya

IMG 1714

Oleh: Nurul Fazliana Norman

PENAMPANG: 23 Ogos 2026 – Masyarakat Orang Asal dari Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei mahu memperkukuh perpaduan dalam mempertahankan hak, tanah adat, bahasa dan warisan budaya yang berdepan ancaman diskriminasi dalam arus pemodenan, menerusi Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Sabah 2026 (SHOAS2026) di Koisaan Cultural Village, Penampang, kelmarin.

Peserta dari Sabah, Kelvin Allen berkata, arus pemodenan menyebabkan adat, budaya dan tradisi masyarakat Orang Asal semakin ditinggalkan.

“Isunya adalah adat, budaya, tradisi ini semakin ditinggalkan atau dilupakan.”

Katanya, kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat sejarah dan warisan suku kaum yang sukar diakses.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menerima sepenuhnya maklumat daripada AI kerana teknologi itu juga boleh melakukan kesilapan.

Pandangan itu selari dengan tema SHOAS2026 yang memberi penekanan kepada AI dalam membentuk masa depan, selain mempertahankan hak melalui perpaduan dan solidariti Dayak Borneo.

afe6a1fc 4b50 4211 a8c2 7f8cd5eccf96

Menurut wakil dari Sarawak pula, isu tanah adat menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi masyarakat Orang Asal.

“Isu yang paling besar adalah tanah. Rampasan tanah adat,” katanya.

Beliau berkata pendidikan dan penguasaan teknologi penting supaya masyarakat Orang Asal memahami hak mereka sendiri.

“Pendidikan penting untuk orang asal. Kalau orang asal semua tidak bijak, bagaimana mahu tahu hak diri sendiri?,” tambah beliau lagi.

Isu adat, pendidikan, kedaulatan Dayak dan hutan adat turut menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam sesi SHOAS2026.

bf35d3be 4409 4daf 9f99 665c974d24e2

Sementara itu, peserta dari Kalimantan Barat, Pak Nadi berkata diskriminasi terhadap masyarakat peribumi menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian.

“Paling besar isu yang dihadapi adalah diskriminasi. Penduduk lokalnya dikecilkan.”

Katanya, masyarakat Dayak di Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan perlu terus bersatu untuk memperkukuh suara masyarakat peribumi tanpa bermaksud memecah-belahkan negara.

“Kita bukan memecah negara, tetapi mempersatukan Dayak asal peribumi.”

4094a1f5 8dd2 4298 a360 27fe9dbd36a2

Menurut Jacqueline Marvey dari Kalimantan Barat melihat AI sebagai peluang membantu generasi muda memelihara bahasa, cerita dan pengetahuan tradisi yang semakin hilang.

“Ada bahasa yang hilang dan kita tidak dapat mencari lagi orang tua yang menuturkannya,” katanya.

Menurutnya, pertemuan masyarakat Orang Asal dari Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei membuka ruang untuk mereka berkongsi budaya, pengalaman dan identiti yang dikongsi bersama.

“Kami berkongsi darah yang sama dan itu menjadikan kami lebih kuat,” ujarnya.

SHOAS2026 turut mengetengahkan sesi mengenai aset budaya Dayak, adat dan pendidikan anak negeri Sabah, kedaulatan ekonomi, hutan adat dan isu sempadan dari perspektif masyarakat Orang Asal Borneo.

Program SHOAS2026 berlangsung sejak 21 hingga 23 Ogos di Koisaan Cultural Village, Penampang, dengan tema “Indigenous Peoples and AI: Shaping Our Future and Defending Our Rights Through Borneo Dayak Unity and Solidarity.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal