Pasukan khas El Nino dibentuk, petani Sabah diminta bersedia

WhatsApp Image 2026 08 13 at 8.36.54 PM

TENOM: 13 Ogos 2026 — Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menghadapi fenomena El Nino yang dijangka membawa cuaca panas berpanjangan mulai September hingga Februari depan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, garis panduan sudah disediakan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh itu.

“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, buat kolam-kolam sebagai simpanan air untuk masa depan,” katanya selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Pejabat Pertanian Tenom hari ini.

Penternak lembu tenusu, kambing dan nelayan juga perlu bersedia. Reka bentuk kandang perlukan pengudaraan baik dan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kementerian. Jamawi akan berkongsi SOP itu dengan Jabatan Perikanan untuk disebarluaskan.

Selain itu, MAFFI memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai zon industri berasaskan pertanian.

Kawasan Beaufort sudah mempunyai kilang memproses lateks menjadi bantal, manakala Tenom memiliki kilang avokado dan empat kilang kopi. Kerajaan memperuntukkan RM600,000 untuk membina pusat pengeringan kopi di Tenom.

Keningau dicadangkan menjadi hab pemprosesan tenusu dan daging lembu, dengan kerjasama Farm Fresh Sdn Bhd untuk mendirikan kilang berkenaan. Tambunan pula akan dibangunkan dengan kilang berasaskan halia.

Jamawi menjelaskan, pembangunan industri hiliran penting untuk memproses hasil pertanian mentah menjadi produk bernilai lebih tinggi, sekali gus menaikkan harga komoditi dan pendapatan petani.

“Bila ia jadi produk hiliran, ia akan menaikkan harga komoditi. Bila harga komoditi naik, yang untungnya petani kita,” katanya.

Mengenai kilang avokado di Kampung Bunut, bangunan sudah siap dan kini dipasang mesin serta peralatan dengan kos anggaran RM2 juta. Buah gred A dan B akan dieksport, manakala gred C diproses menjadi produk hiliran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal