Di sebalik PNGK 4.00 Sen pilih jalan sukar demi keluarga, kini jadi harapan belia Telupid

Gambar Sen Aktif Dalam CERT

Oleh: Ray Bull

TELUPID: Suasana di rumah sederhana di Kampung Gambaron, Telupid itu kelihatan seperti hari-hari biasa. Tiada majlis besar, tiada sorakan, apatah lagi persiapan untuk meraikan sesuatu yang luar biasa.

Namun, selepas keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan, detik yang tidak mungkin dilupakan seumur hidup, tercipta lembaran sejarah di ruang tamu rumah itu.

Di sisi ibunya, Sen menekan butang semakan keputusan. Beberapa saat kemudian, paparan pada skrin telefon mengubah segala-galanya.

PNGK 4.00! Beliau terpaku, seolah-olah masa terhenti sejenak.

“Saya benar-benar terkejut. Saya langsung tidak menyangka mampu memperoleh PNGK 4.00. Saya hanya bersyukur kerana segala usaha selama ini akhirnya berbaloi,” katanya sambil mengimbau detik bersejarah itu.

Gambar Sen Menerima Anugerah
Sen menerima anugerah atas kecemerlangannya meraih PNGK 4.0

Orang pertama yang dikongsikan berita itu bukan rakan, bukan guru, tetapi ibunya yang sejak awal berada di sisi menyaksikan segala pengorbanan anaknya.

Namun, di sebalik senyuman yang mengiringi kejayaan tersebut, tersimpan sebuah kisah perjuangan yang jauh lebih besar daripada angka 4.00.

Kecewa selepas SPM namun bangkit dengan tekad baharu

Ramai melihat Sen hari ini sebagai pelajar cemerlang. Hakikatnya, Sen pernah melalui episod yang membuatkan keyakinannya hampir runtuh. Keputusan SPM yang diterimanya hanyalah 5A, 1B, 1C, 1C+ dan 1E. Keputusan itu jauh dari sasaran yang diimpikannya.

“Saya sangat kecewa ketika itu. Saya rasa saya gagal mencapai apa yang saya sasarkan. Tetapi saya tidak mahu kegagalan itu menentukan masa depan saya.”

Walaupun menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam Diploma Sains di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu dan Program Matrikulasi Labuan, Sen membuat keputusan yang mengejutkan ramai dengan menolak kedua-dua tawaran tersebut.

Sebaliknya, memilih kembali ke sekolah lamanya, SMK Telupid, untuk menyambung pengajian di Tingkatan Enam.

Keputusan itu bukan dibuat kerana kekurangan pilihan, tetapi kerana memahami kemampuan keluarganya.

Ayahnya bekerja sendiri mengusahakan kebun kelapa sawit, manakala ibunya seorang suri rumah.

Gambar Sen Bersama Keluarganya
Sen bersama keluarganya (bapa, ibu, dan adik perempuan)

Walaupun ibu bapanya tidak pernah menghalang beliau melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi, Sen tidak sanggup melihat mereka menanggung beban kewangan yang lebih besar.

“Saya tahu mereka sanggup berkorban untuk saya, tetapi saya juga mahu mengurangkan beban mereka. Tingkatan Enam dekat dengan rumah, kosnya jauh lebih rendah dan memberi peluang yang sama untuk melanjutkan pengajian ke universiti.”

Pilihan itu akhirnya menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya.

Belajar dalam gelap, bertahan ketika diuji

Perjalanan di Tingkatan Enam bukanlah mudah. Beliau pernah diserang gastrik yang teruk ketika peperiksaan percubaan Semester Tiga sehingga sukar memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Sebulan sebelum peperiksaan Semester Dua pula, keluarganya diuji dengan masalah yang memberi kesan kepada emosinya sehingga keputusan semester itu menurun.

Lebih menguji, pernah suatu malam bekalan elektrik di rumah terputus. Dalam keadaan kebanyakan orang memilih untuk berehat, Sen menyalakan lilin dan meneruskan ulang kaji. Cahaya kecil itulah yang menerangi nota-nota pelajarannya.

“Saya tahu saya tidak boleh mengalah. Kalau berhenti ketika itu, saya mungkin tidak berada di tahap ini hari ini,” katanya.

Setiap hari Sen menjalani rutin yang cukup sederhana. Bangun awal pagi, menaiki bas sekolah pada jam 6 pagi, pulang sekitar tengah hari, berehat sebentar sebelum mengulang kaji pada waktu malam. Pada sebelah petang pula Sen memastikan dirinya kekal cergas melalui aktiviti berjoging dan bermain bola tampar.

Sen percaya kejayaan bukan datang melalui kepintaran semata-mata, tetapi melalui disiplin yang dilakukan secara konsisten.

Belajar, sambil menjaga gajah liar

Apa yang membezakan Sen dengan ramai pelajar lain ialah kehidupannya tidak hanya berkisar di bilik darjah. Sejak berusia 17 tahun dan lebih aktif selepas tamat SPM ketika menunggu keputusan peperiksaan, beliau menyertai Community Elephant Ranger Team (CERT) sebagai sukarelawan.

Ketika kebanyakan remaja menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan, Sen memilih menyertai pasukan yang berkawal hingga lewat malam demi memastikan konflik antara manusia dan gajah dapat dielakkan. Baginya, menjaga hidupan liar bukan sekadar aktiviti sukarelawan. Ia adalah tanggungjawab terhadap kampung halaman.

“Saya mahu memastikan hubungan antara penduduk Kampung Gambaron dengan gajah kekal harmoni. Saya tidak mahu gajah dicederakan dan saya juga mahu mengurangkan kerosakan harta benda penduduk akibat kehadiran gajah.”

Gambar Sen Melakukan Kerja Komuniti
Sen aktif sebagai ahli NGO dalam pemuliharaan hutan bagi makanan gajah liar

Tahun 2025 menjadi antara tempoh paling mencabar. Dari Jun hingga Ogos, beliau hampir setiap malam bersama pasukan CERT menjalankan operasi mengawal gajah yang aktif memasuki kawasan kampung.

Ketika tiba musim kehadiran gajah kembali pada November, Sen sekali lagi menyertai operasi yang sama.

Selain itu, beliau turut membantu menjayakan pameran pendidikan mengenai pemuliharaan gajah sebagai ahli jawatankuasa.

Belia yang dipercayai

Komitmen Sen tidak terlepas dari perhatian Penyelaras CERT Telupid, Alvein Dee. Menurutnya, sejak menyertai CERT, Sen sentiasa menunjukkan kesungguhan yang luar biasa dalam setiap tugasan yang diberikan.

Sen bukan sahaja terlibat dalam operasi 3P yang merangkumi Pemantauan, Pengawalan dan Pengiringan, malah aktif menyertai program penanaman pokok buah-buahan sebagai sumber makanan gajah di habitat semula jadi.

Komitmen itulah yang akhirnya membuka ruang untuk Sen menyertai Community Honorary Wildlife Warden (CHWW).

Selepas melalui proses temu duga, latihan dan praktikal, Sen kini menjadi antara lima belia yang menganggotai pasukan Warden Kehormatan Hidupan Liar.

“Setiap kali berlaku kehadiran gajah di kawasan kampung, Sen sanggup berkawal bersama pasukan sehingga lewat malam dan awal pagi. Dia menunjukkan komitmen yang sangat baik dan sentiasa boleh diharapkan,” kata Alvein.

Jelas Alvein, walaupun ahli pasukan datang dari kampung yang berbeza dan mempunyai jurang usia yang agak besar, hubungan yang terjalin amat erat kerana masing-masing berkongsi matlamat yang sama, iaitu melindungi hidupan liar dan memastikan konflik manusia-gajah dapat dikurangkan.

Membalas pengorbanan ibu bapa

Bagi Sen, kejayaan memperoleh PNGK 4.00 bukanlah kemuncak perjalanan hidupnya. Sebaliknya, ia hanyalah langkah pertama.
Dengan impian untuk menjadi seorang pendidik tersemat niat murni Sen untuk dapat membantu membentuk generasi masa depan, terutamanya meningkatkan taraf hidup keluarganya.

“Saya mahu melanjutkan pelajaran, mendapatkan pekerjaan yang baik dan melihat ibu bapa saya hidup lebih selesa. Semua yang saya lakukan hari ini adalah untuk mereka.”

Sen tidak pernah melupakan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa berusaha menyediakan tambang bas sekolah, membeli buku teks dan memenuhi keperluan persekolahannya walaupun hidup dalam serba sederhana.

Lebih daripada sekadar keputusan peperiksaan

Kisah Sen bukan sekadar mengenai seorang pelajar yang memperoleh PNGK 4.00. Ia adalah kisah seorang anak yang memilih jalan lebih sukar demi keluarganya.

Ia kisah seorang pelajar yang pernah kecewa dengan keputusan SPM, tetapi enggan membiarkan kegagalan menentukan masa depannya.

Malah ia juga kisah seorang insan muda yang sanggup berjaga sehingga dinihari mengawal gajah liar sebelum kembali ke sekolah mengejar impian.

Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui angka dan sijil, Sen membuktikan bahawa kecemerlangan sebenar lahir dari nilai yang dibina sepanjang perjalanan, iaitu ketabahan, rasa tanggungjawab, keikhlasan berbakti kepada masyarakat dan kesediaan untuk bangkit setiap kali diuji.

PNGK 4.00 mungkin menjadi tajuk utama, tetapi di Kampung Gambaron, kejayaan sebenar diukur melalui dua perkara yang sentiasa dipegang oleh Sen sejak awal, menghargai pengorbanan keluarga dan berbakti kepada komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal