KOTA KINABALU: 6 Ogos 2026 – Program Tunas Niaga (PROTUNE) peringkat negeri Sabah mencatat jualan keseluruhan RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih RM380,098.41 sepanjang sembilan bulan pelaksanaan.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian 45 sekolah yang menyertai program ini mencerminkan kesungguhan, kreativiti dan komitmen pelajar dan guru pembimbing.
“Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jualan atau keuntungan, tetapi pengalaman, keyakinan dan kemahiran yang berjaya dibina sepanjang program,” ujarnya pada Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNE Negeri Sabah 2025 di sini.
Daripada 45 sekolah, 15 berjaya mara ke peringkat akhir. Ewon bersetuju menambah dana RM2,000 kepada setiap sekolah finalis di bawah Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri MINDET, manakala RM10,000 tambahan disalurkan kepada pemenang anugerah.

SMK Sepagaya Lahad Datu dinobatkan sebagai Syarikat PROTUNE Terbaik, membawa pulang wang tunai RM2,500, piala dan sijil.
Statistik alumni PROTUNE menunjukkan 68 peratus melanjutkan pengajian, 21 peratus bekerja, sembilan peratus mencari pekerjaan dan dua peratus menceburi keusahawanan.

Program anjuran SEDCovest dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ini mendapat sokongan kerajaan negeri melalui MINDET. Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David, Pengerusi Sedcovest Holdings Datuk Redonah Bahanda dan Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco Haji Azrul Haji Ahmad.

