SANDAKAN: 4 Ogos 2026 – Perhimpunan Kateketikal Sabah (PKS) Kali Ketiga melabuhkan tirainya pada Ahad selepas berlangsung selama tiga hari di Wisma Tay Chee Ming, menghimpunkan seramai 1,048 katekis pembimbing Gereja Katolik dari seluruh Sabah serta lima delegasi jemputan dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Perhimpunan dwitahunan itu menjadi wadah menghimpunkan para katekis bagi mengikuti sesi pembentangan, perkongsian ilmu dan perbincangan berkaitan usaha memperkasa peranan mereka dalam membimbing komuniti Katolik di Sabah.
Program berkenaan turut dihadiri Uskup Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Rev. Fr. Datuk John Wong, dan Uskup Keuskupan Sandakan, Rev. Fr. Datuk Julius Dusin Gitom, bersama para pemimpin dan wakil gereja dari seluruh Sabah.
Antara pengisian yang mendapat perhatian ialah sesi khas yang mengimbas sejarah perkembangan Gereja Katolik di Sabah, bermula dengan kemasukan pengaruh Katolik pada tahun 1855 sehingga perkembangannya ke seluruh Sabah pada hari ini.

Selain menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman, penganjuran PKS Kali Ketiga turut memberi suntikan kepada ekonomi setempat.
Kehadiran lebih 1,000 peserta sepanjang program berlangsung telah meningkatkan kadar penginapan di hotel dan rumah tumpangan, selain merancakkan perniagaan restoran, kedai makan, pengangkutan dan pelbagai sektor perkhidmatan lain di bandar Sandakan.

Pada misa penutupan, turut diumumkan bahawa Keuskupan Keningau dipilih sebagai tuan rumah Perhimpunan Kateketikal Sabah Kali Keempat, sekali gus meneruskan penganjuran acara sebagai medan memperkukuh jaringan dan kerjasama dalam kalangan katekis di seluruh Sabah.

