KOTA KINABALU: 1 Ogos 2026 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang menolak Usul Persendiriannya berkaitan pelaksanaan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.
Chin berkata, permohonan itu bukan bertujuan mempertikaikan kewibawaan institusi Speaker atau mencampuri urusan Dewan Undangan Negeri, sebaliknya untuk mendapatkan penentuan mahkamah sama ada keputusan berkenaan dibuat mengikut undang-undang, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Sabah dan prinsip keadilan asasi.
“Saya tidak meminta Mahkamah menentukan jumlah hak 40 peratus Sabah dan saya juga tidak meminta Mahkamah mengarahkan Speaker menerima Usul Persendirian saya secara automatik.
“Apa yang saya pohon ialah supaya Mahkamah menentukan sama ada keputusan tersebut telah dibuat secara sah, adil, rasional dan selaras dengan undang-undang,” katanya pada sidang media kelmarin.
Menurutnya, usul persendirian yang dikemukakan pada 2 April lalu bertujuan mendapatkan pendedahan jumlah hasil Persekutuan yang dikutip dari Sabah untuk tempoh 2022 hingga 2025, termasuk asas pengiraan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, usul itu dimaklumkan ditolak pada 29 April lalu.
Susulan keputusan itu, katanya, beliau menulis kepada Speaker pada 19 Mei untuk mendapatkan penjelasan mengenai bahagian usul yang didakwa bercanggah dengan Peraturan Tetap 43(2), asas undang-undang yang digunakan dan alasan keputusan berkenaan.
“Namun, sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang jawapan terhadap surat tersebut.
“Maka, selepas semua saluran yang munasabah digunakan untuk mendapatkan penjelasan, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan penentuan dari Mahkamah melalui saluran undang-undang yang sah,” katanya.
Chin berkata, tindakan itu bukan sahaja melibatkan kepentingannya sebagai ADUN, malah membabitkan hak semua Ahli Dewan untuk mengetahui bagaimana sesuatu keputusan terhadap usul dibuat dan bagaimana Peraturan-Peraturan Tetap ditafsir dan digunakan.
Menurutnya, jika alasan sesuatu keputusan tidak dapat difahami atau tidak dijelaskan walaupun permohonan rasmi dibuat, keadaan itu berpotensi menimbulkan ketidakpastian kepada Ahli Dewan dalam melaksanakan fungsi legislatif mereka.
Beliau berkata, semakan kehakiman itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha mewujudkan konflik antara badan kehakiman dan badan legislatif kerana kedua-dua institusi mempunyai peranan masing-masing seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Katanya, beliau akan menghormati apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh mahkamah dan berharap semua pihak memberi ruang kepada proses kehakiman berjalan tanpa sebarang tekanan atau spekulasi.
Chin turut menegaskan perjuangan mendapatkan hak Sabah akan diteruskan melalui saluran yang sah di sisi undang-undang, sambil menekankan bahawa permohonan itu hanya bertujuan mendapatkan penentuan sama ada keputusan menolak usul persendiriannya dibuat mengikut undang-undang, Peraturan Tetap dan prinsip keadilan asasi.

