PUTRAJAYA: 27 Julai 2026 — Kolej Vokasional (KV) Keningau mengharumkan nama Sabah apabila meraih empat anugerah pada Festival Seni Kolej Vokasional (FESKOV) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Shaftsbury, Putrajaya dari 24 hingga 26 Julai.
Kejayaan itu menyaksikan KV Keningau muncul juara kategori nyanyian solo, naib johan kategori kugiran, dan memenangi dua Anugerah Vokal Terbaik bagi kedua-dua kategori berkenaan.
Festival berkenaan dianjurkan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (BPLTV) dengan penyertaan 15 peserta dalam kategori nyanyian solo dan 10 pasukan dalam kategori kugiran.
Pasukan kugiran KV Keningau, D’ Buvazoi, dianggotai Ikmal Rezza J. Padasian selaku penyanyi utama bersama Therrence Soan Roystan, David Benny Ujan Benjamin, Angelbert Lasung Smd Robert, Owen Hansen Anthonius dan Jazryan Jasni. Mereka dibimbing dua guru, Syuaib Samijan dan Bibiana Paulus.
Dalam pertandingan nyanyian solo, Ikmal Rezza mempersembahkan lagu Sampai Syurga nyanyian asal Faizal Tahir, manakala D’ Buvazoi membawakan gubahan lagu Puteri nyanyian Zainal Abidin dan Rolling in the Deep nyanyian Adele.
Ikmal Rezza membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM1,000 sebagai juara kategori nyanyian solo, manakala pasukan D’ Buvazoi menerima trofi, sijil dan wang tunai RM1,000 selepas muncul naib johan.
Pasukan itu turut menerima wang tunai RM500 dan plak bagi setiap Anugerah Vokal Terbaik, menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang dimenangi sebanyak RM3,000.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional, Ts. Zulkernai Fauzi.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata, kejayaan di peringkat kebangsaan itu diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar kolej berkenaan untuk aktif dalam bidang seni.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sahaja meningkatkan semangat pelajar untuk menyertai pertandingan, malah membuka peluang kepada mereka mengadakan persembahan pada pelbagai program rasmi BPLTV termasuk majlis konvokesyen dan Karnival Keusahawanan.

