oleh David E.
KUCHING: 23 Julai 2026 — Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Borneo Dayak Forum (BDF), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, menegaskan bahawa perpaduan politik antara Sabah dan Sarawak merupakan kunci kejayaan dalam menuntut hak‑hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sambil mencadangkan pembentukan “Borneo Blok” di Parlimen untuk memperkukuh suara Borneo di peringkat persekutuan.
Dalam ucapannya pada sambutan Hari Sarawak 2026 di Tasik Biru, Dibau, pada Rabu, Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan menyifatkan perpaduan yang ditunjukkan oleh Sarawak sebagai contoh yang patut dicontohi oleh Sabah.
“Saya kagum dengan Sarawak sebab bersatu secara politik. Dan inilah yang kita perlu untuk berjaya menuntut hak‑hak kita, sebab hak‑hak Sabah dan Sarawak sebenarnya sama saja,” katanya.
Beliau yang hadir bersama lebih 1,000 peserta dalam program 722 Walk turut memuji Kerajaan Sarawak kerana mewartakan 22 Julai sebagai cuti umum mulai 2016, menjadikannya negeri pertama di Borneo yang mengiktiraf secara rasmi hari kemerdekaannya.
Dr Jeffrey mengingatkan hadirin bahawa terdapat tiga tarikh penting dalam sejarah penubuhan Malaysia yang sering kali terlepas pandang: 22 Julai 1963 — Hari Kemerdekaan Sarawak, apabila Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri daripada British; 31 Ogos 1963 — Hari Kemerdekaan; Sabah, yang diisytiharkan oleh Majlis Undangan Borneo Utara pada 8 Ogos 1963; dan, 16 September 1963 — Hari penubuhan rasmi Malaysia
“Hari Sarawak sudah menjadi kenyataan dan dirayakan oleh kerajaan setiap tahun… Kami di Sabah setiap tahun juga berkumpul untuk mempromosikan Hari Sabah, dan syukur alhamdulillah, empat tahun yang lalu saya berjaya untuk Hari Sabah diiktirafkan secara rasmi,” katanya.
Beliau menyifatkan tarikh 31 Ogos 1963 sebagai “sejarah yang tercicir” untuk Sabah, memandangkan kemerdekaan Sabah pada tarikh tersebut tidak pernah diraikan secara rasmi selama 60 tahun.
Dalam ucapannya yang penuh bersemangat, Dr Jeffrey menghuraikan perbezaan kritikal antara Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 dengan Deklarasi Malaysia pada 16 September 1963 — satu perbezaan yang, katanya, menjadi punca perasaan “tertipu” di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Dalam Perjanjian Malaysia artikel 1, dia mengatakan North Borneo, Sarawak and the state of Singapore shall be federated with the existing state of the federation of Malaya, and the federation shall be called Malaysia. Ini bermakna, kalau ikut Perjanjian Malaysia, tiada negara baru yang dicipta — dia tukar nama saja,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa pada 9 Julai 1963, ketika MA63 ditandatangani, Sabah dan Sarawak masih lagi tanah jajahan British. Ini berbeza dengan Deklarasi Malaysia pada 16 September 1963, yang mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai “negara” yang sudah mencapai kemerdekaan dan “disekutukan” dengan Tanah Melayu.
“Dalam deklarasi Malaysia, dia bilang ‘negara Sabah, negara Sarawak’ disekutukan dengan Malaya… Ini bererti Sabah dan Sarawak yang sudah menjadi negara dan sudah mencapai kemerdekaan telah pun disekutukan dengan Malaya.”
Beliau menegaskan bahawa perbezaan inilah yang perlu “dibetulkan di dalam sejarah kita.”
Dr Jeffrey turut mengingatkan tentang pindaan Perlembagaan pada tahun 1976 yang menurunkan status Sabah dan Sarawak dari rakan kongsi ke negeri biasa — Sabah menjadi negeri nombor 12 dan Sarawak negeri nombor 13 dalam kad pengenalan.
“Mereka cuba menurunkan kedudukan kita balik kepada status negeri‑negeri di Semenanjung, untuk melaksanakan artikel 1 dalam Perjanjian Malaysia, bukan yang telah diisytiharkan pada 16 September.”
Pada tahun yang sama, katanya, kerajaan persekutuan juga mengambil alih sumber minyak dan gas melalui Petroleum Development Act 1974 (PDA 74).
“Saya setuju dengan saudara Francis, saudara Raymond bahawa minyak dan gas ini adalah kita punya. Di dalam Perlembagaan sudah pun tersusun — tanah termasuk juga sumber‑sumber asli adalah kepunyaan negeri Sabah dan Sarawak.”
Bagaimanapun, beliau memuji usaha pimpinan Sarawak di bawah Tun Junaidi dan Premier Abang Johari yang berjaya mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi melalui pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 2018.
“Tahniah kepada Sarawak sekali lagi.”
Dalam konteks tuntutan hak kewangan, Dr Jeffrey menjelaskan perbezaan antara Sabah dan Sarawak:
“Sabah mempunyai satu formula untuk menuntut hak hasil 40% — Sarawak tidak ada. Tetapi mereka juga layak untuk menuntut, sebab Sarawak diberikan pilihan untuk menerima fixed amount, dan fixed amount itu boleh dirunding.”
Beliau mendedahkan bahawa sehingga hari ini, bayaran 40% belum dibuat walaupun sudah 63 tahun Malaysia ditubuhkan.
“Mahkamah telah buat keputusan dan telah memerintah supaya ini dimuktamadkan… Mahkamah juga telah membuat keputusan bahawa pembayaran interim itu tidak diterima sebagai pengganti 40% — pembayaran interim diisytihar tidak sah dan tidak sah di sisi undang‑undang.”
Salah satu seruan paling penting dalam ucapan Dr Jeffrey ialah cadangan untuk menubuhkan blok politik bersatu untuk Sabah dan Sarawak di Parlimen.
“Bercakap tentang perpaduan, saya rasa dalam kuasa politik dan Parlimen ini, Sabah dan Sarawak harus bersatu menjadikan Borneo Blok sebagai satu kenyataan asas kita untuk memperjuangkan hak‑hak kepentingan bersama.”
Beliau mencadangkan agar GPS (Gabungan Parti Sarawak) ditambah satu ‘S’ lagi untuk menjadikannya gabungan parti Sabah‑Sarawak.
“GPS sudah berjaya. Saya cadangkan tambah satu S lagi — gabungan parti Sabah Sarawak sebagai nama Borneo Blok, supaya di dalam Parlimen nanti kita satu suara.”
Menurutnya, Sabah dan Sarawak secara bersama memegang 56 kerusi Parlimen — Sabah 25 dan Sarawak 31. Sekiranya bersatu, ini akan menjadikan blok tersebut antara yang terbesar di Dewan Rakyat, setanding dengan parti‑parti besar di Semenanjung.
“Kalau kita bersatu, sekurang‑kurangnya kita ada 57 kerusi — yang paling besar, sebab sekarang yang paling besar ada 46 saja.”
Dr Jeffrey turut mengkritik ketidakseimbangan peruntukan pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
“Dari 100 bilion bajet pembangunan, kerajaan pusat hanya bagi kita Sabah dan Sarawak kurang lebih 13% — ini bererti kita dapat itu sisa‑sisa saja. 87% hampir 90% peruntukan pembangunan di Semenanjung.”
Beliau menekankan bahawa Sabah dan Sarawak — yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan masih miskin — sepatutnya menerima peruntukan yang lebih besar.
“Kenapa tidak terbalikkan dia — beri lebih kepada Sabah dan Sarawak untuk bajet pembangunan, supaya kita boleh membangunkan potensi kita, selesaikan masalah kemiskinan dan kemunduran kita? Bila Sabah Sarawak maju, Malaysia pun maju.”
Dr Jeffrey turut menuntut agar kedudukan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dipulihkan kepada nisbah asal 35%, berbanding 65% untuk Semenanjung.
“Kursi Parlimen kita dahulunya merupakan 35% — 60‑65% di Semenanjung sebab sana banyak negeri, dan 35% untuk Sabah dan Sarawak.”
Beliau menjelaskan bahawa di dalam perbincangan penubuhan Malaysia, kriteria untuk Sabah dan Sarawak adalah berbeza — bukan hanya penduduk, tetapi juga keluasan wilayah dan potensi pembangunan.
“Ada yang mengatakan ‘ya tapi penduduk kamu sikit’ — penduduk kami sikit bukan bererti masalah kami sikit. Sebenarnya masalah kami lebih besar. Di dalam Perjanjian Malaysia, ia mengatakan jangan pandang penduduk saja, tetapi pandang juga keluasan Sabah dan Sarawak dan potensi untuk membangun.”
Mengakhiri ucapannya, Dr Jeffrey melahirkan rasa cintanya terhadap Sarawak dan mengenang perjuangan bersama selama lebih sedekad.
“Saya ni orang Borneo — di Kalimantan, Indonesia pun saya jalan‑jalan. Setiap tahun saya datang ke Kucing sebenarnya dan meraikan bersama‑sama rakan‑rakan untuk menaikkan bendera Sarawak di Padang Merdeka.”
Beliau mengenang detik‑detik awal perjuangan pada tahun 2010, apabila perarakan tahunan bermula dengan hanya segelintir peserta — dan dihalau oleh polis — sebelum berkembang menjadi sambutan besar‑besaran yang disertai ribuan rakyat.
“2014, perarakan sudah bertambah ramai — ada yang jalan kaki, ada yang naik motosikal, ada yang naik kereta. Dan pada waktu itu saya hairan kerana polis tidak halau lagi, malah anggota polis berjalan bersama membantu kita.”
Beliau turut menjemput semua hadirin ke Sambutan Hari Orang Asal Sedunia di Sabah pada 21 hingga 23 Ogos ini.
“Dua tahun lalu kita buat di sini Kucing, tahun lalu di Palangkaraya, tahun ini Sabah menjadi tuan rumah. Datanglah ramai‑ramai.”
Dr Jeffrey mengakhiri ucapannya dengan kata‑kata perpaduan:
“Hari kemerdekaan ini adalah hari yang paling penting dalam sejarah, sebab hari kemerdekaanlah kita mendapat balik kuasa untuk memerintah sendiri di Sarawak… Saya bagi pihak kawan di Sabah menyampaikan kepada pemimpin‑pemimpin Sarawak — selamat Hari Sarawak 2026.”
Hari Sarawak disambut pada 22 Julai setiap tahun untuk memperingati detik Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, selepas berakhirnya pentadbiran kolonial British. Tarikh tersebut diisytiharkan sebagai cuti umum negeri mulai 2016 di bawah kepimpinan Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Sabah pula mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, tetapi tarikh tersebut baru diwartakan sebagai Hari Sabah secara rasmi pada 5 Jun 2024.
MA63, yang ditandatangani pada 9 Julai 1963, mengandungi 20 perkara yang dibangkitkan oleh Sabah dan 18 perkara oleh Sarawak untuk melindungi kepentingan, hak dan autonomi negeri selepas penubuhan Malaysia.

