TUARAN: 21 Julai 2026 – Peniaga kecil di kawasan Sulaman akan menerima bantuan tunai RM3,000 seorang, usaha membantu mereka meneruskan perniagaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau mengarahkan Pegawai Daerah menyenaraikan peniaga kecil di kawasan itu supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak.
Menurutnya, bantuan merangkumi peniaga yang berniaga secara tetap dan sambilan, termasuk di bahu jalan dan kampung-kampung dalam kawasan Sulaman.
“Saya berharap senarai tersebut dapat disampaikan kepada saya supaya bantuan ini dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan layak menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Usahawan & STEM X Challenge 2026 sempena Pertandingan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Lok Batik, pada Ahad.
Hajiji berkata, penganjuran karnival itu memberi peluang kepada usahawan kecil, khususnya golongan muda, untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk memperkasa usahawan muda agar mampu terus berkembang dan berdaya saing.
Menyentuh mengenai STEM X Challenge, beliau berkata penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam melahirkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan masa depan.
Menurutnya, disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang yang diterapkan dalam sukan turut menjadi elemen penting dalam bidang STEM dan keusahawanan.
Program selama dua hari bermula 19 hingga 20 Julai itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan usahawan tempatan, Jualan Rahmah, pertandingan robotik, pameran, persembahan kebudayaan dan pelbagai program sempena kemeriahan Final Piala Dunia FIFA 2026.

