KOTA KINABALU: 20 Julai 2026 — Kerajaan Sabah menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) meningkat kepada sekitar 1,200 megawatt (MW) atau 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri menjelang 2030 menerusi pelaksanaan beberapa projek tenaga strategik di seluruh wilayah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang menetapkan matlamat mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Sook) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga solar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim dan sistem penyimpanan tenaga untuk memastikan bekalan elektrik Sabah terus stabil dan berdaya harap.
Kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah ketika ini adalah sekitar 307MW, mewakili kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik negeri.
Demi meningkatkan kapasiti berkenaan, kerajaan sedang melaksanakan Projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450MW, meliputi 200MW yang dijangka siap pada penghujung 2026 hingga awal 2027, manakala baki 250MW kini melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028.
Selain itu, Projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam (MWh) turut sedang melalui proses bidaan dan dijangka siap pada 2028 untuk menyokong kestabilan sistem grid.
Kerajaan negeri turut merancang membangunkan projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100MW yang dijangka siap pada 2029, selain meneruskan pembangunan Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW, yang masing-masing dijangka siap menjelang 2030.
Hajiji berkata, pelaksanaan projek-projek itu akan mempercepatkan peralihan tenaga Sabah sambil memastikan bekalan elektrik terus memenuhi keperluan pengguna dan sektor industri.
“Dengan pelaksanaan projek-projek tersebut secara berfasa, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200MW menjelang tahun 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035 mampu dicapai menerusi projek-projek yang telah dikenal pasti.
“Kerajaan negeri akan memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.

