Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 19 Julai 2026 — Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah mengambil tindakan segera susulan insiden seorang murid yang dilaporkan terjatuh di kawasan sebuah sekolah di Papar baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat, siasatan awal mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur jenayah atau buli.
Mangsa telah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital, dan laporan perubatan mengesahkan bahawa murid berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dana berada dalam keadaan stabil.
Pihak sekolah bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum memaklumkan kejadian kepada keluarga. Polis turut dihubungi untuk mengawal kawasan kejadian dan mengelakkan suasana panik di kalangan warga sekolah.
JPN Sabah menegaskan bahawa kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan emosi mangsa terus diberikan perhatian melalui pemantauan berterusan. Sokongan psikososial dan emosi turut disalurkan kepada mangsa serta warga sekolah yang terkesan.
Pihak jabatan memberi jaminan bahawa kerjasama penuh akan diberikan kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini, demi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan dan melindungi kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah.

