Ewon bangkit status projek Jalan Luar Bandar Kadamaian bernilai RM671.55 juta

5e33df64 bc15 4140 8d76 0d042163a9b1

KUALA LUMPUR: 16 Julai 2026 – Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick membangkitkan status pelaksanaan beberapa projek Jalan Luar Bandar (JLB) di kawasan Kadamaian ketika mengemukakan pertanyaan lisan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Antara projek yang dibangkitkan ialah cadangan menaik taraf Jalan Gaur–Mangkulat–Bukit–Pinolobuh, Jalan Dundau–Piasau, Jalan Lasau–Kebidahan serta beberapa jalan luar bandar lain di daerah Kota Belud.

Dalam jawapan bertulis, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan sebanyak satu projek baharu dan lapan projek sambungan di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) telah diluluskan di daerah Kota Belud setakat tahun 2026, membabitkan peruntukan keseluruhan RM671.55 juta.

Menurut kementerian, daripada sembilan projek berkenaan, satu projek telah siap sepenuhnya, lima projek sedang dalam pembinaan manakala tiga lagi berada di peringkat pra-pembinaan.

Bagi Projek Membina Jalan Mangkulat–Pinolobuh–Bukit, Kota Belud, KKDW memaklumkan projek itu diluluskan pada tahun ini dengan kos RM99.9 juta.

Skop projek melibatkan pembinaan jalan sepanjang 9.0 kilometer mengikut piawaian JKR R2 serta pembinaan sebuah jambatan.

Pada masa ini, projek berada dalam peringkat penyediaan reka bentuk konsep dan dijadualkan menjalani Makmal Kajian Nilai (Value Assessment – VA) pada 20 hingga 24 Julai 2026.

Sementara itu, kementerian turut memaklumkan Projek Menaik Taraf Jalan Piasau–Dundau–Siasai, Kota Belud telah diluluskan pada tahun 2024 dengan kos RM46 juta.

Skop projek itu merangkumi kerja menaik taraf jalan sepanjang 5.0 kilometer mengikut piawaian JKR R2.

Menurut KKDW, status semasa projek kini berada di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci sebelum proses perolehan dilaksanakan.

Jawapan itu sekali gus memberi gambaran terkini mengenai kemajuan beberapa projek infrastruktur jalan luar bandar yang menjadi antara keutamaan penduduk Kadamaian dan kawasan sekitar Kota Belud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal