“Saya sangka tempat kedua, rupa-rupanya juara dunia” – Dr Stanley Missun

fad7d1a7 1044 4171 9897 a68eb858245e 85C333A1 881A 4B58 9578 283290AA3129

Oleh: Roodwill

Bangkok: Dr Stanley Missun langsung tidak menyangka namanya diumumkan sebagai juara Mister Classy Model International 2026 apabila berdiri di pentas pertandingan di Bangkok, Thailand, malam itu.

Kekeliruan bermula apabila pengumuman pengacara yang bertutur dalam bahasa Inggeris dengan loghat Thailand kurang jelas didengarinya. Apabila selempang kemenangan mula disarungkan ke bahunya, beliau hanya tersenyum dan menganggap dirinya sekadar naib juara.

a7a35aea 4c12 4d1b 9da9 a47fac54452d

“Hati saya berkata, ‘Oh, begini pula rasanya berada di tempat kedua. Tidak mengapa, itu pun satu pencapaian yang tinggi’,” katanya.

Namun, sorakan gemuruh penonton disetai kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah oleh National Director Malaysia mengejutkannya. Detik itu juga menyedarkan beliau bahawa gelaran sebenar menjadi miliknya.

“Pada saat itu, saya tidak lagi melihat diri saya sebagai individu. Saya melihat bendera Sabah dan Jalur Gemilang. Saya sedar saya membawa harapan bahawa anak Borneo juga mampu berdiri di pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan selepas kemenangan.

Kembali mengejar impian lama

Di sebalik mahkota yang diraih, tersimpan kisah seorang anak Sabah yang berani mencabar dirinya dalam pelbagai bidang. Sebelum bergelar juara antarabangsa, Dr Stanley melalui pelbagai fasa kerjaya—bermula sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur, kemudian pramugara di Malaysia Airlines, seterusnya pembaca berita dan pengacara di RTM Sabah.

Kini bergelar ahli akademik, penyelidik dan penggiat budaya, beliau juga aktif memimpin Orkestra Muzik Bambu Kinabalu (OMBAK) Malaysia dan mencipta 11 rekod dalam The Malaysia Book of Records sebagai Pengarah Program.

Walaupun pernah menjuarai pertandingan peragaan di Filipina dan Australia pada suatu ketika dahulu, dunia peragaan tidak pernah benar-benar ditinggalkan.

“Ramai menyangka ia hanyalah nostalgia. Hakikatnya, impian dalam bidang ini tidak pernah pudar. Saya bertanya kepada diri sendiri, ‘Why settle for one dream when I have the capacity to pursue many?’ Saya mahu membuktikan bahawa usia bukan penghalang, kerjaya bukan sempadan,” ujarnya.

Jiwa Sabah ke pentas dunia

Persiapan ke Bangkok bukan sekadar latihan fizikal. Ketika peserta lain memilih persembahan moden untuk segmen Talent Competition, Dr Stanley mengambil keputusan berani mengetengahkan Muzik Bambu Togunggak—warisan budaya yang dekat dengan dirinya.

Dalam persembahan selama empat setengah minit itu, alunan muzik bambu bergema di dewan manakala layar gergasi di belakang pentas memaparkan keindahan Gunung Kinabalu, kepelbagaian budaya dan landskap semula jadi Sabah.

“Saya tidak datang ke Bangkok sekadar untuk bertanding. Saya mahu membawa jiwa Sabah ke pentas dunia,” katanya.

Usahanya mendapat perhatian peserta antarabangsa. Ada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alat muzik bambu, manakala ramai yang meluahkan hasrat untuk melawat Sabah selepas menyaksikan persembahan tersebut.

“Ada yang berkata, ‘I’ve never heard music like this before.’ Ada juga yang memberitahu, ‘Sabah is now on my bucket list.’ Itu sudah cukup membuktikan budaya mampu merapatkan manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.

Hakim temui juara sebenar

Dr Stanley mengakui ada ketika kamera lebih banyak memfokuskan peserta yang dianggap pilihan awal pertandingan. Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan persembahan terbaik.

“The cameras captured the favourites. The judges discovered the champion,” katanya dengan penuh rendah diri.

Selain gelaran Grand Winner, beliau turut membawa pulang Most Popular Award dan Best Impression Award. Baginya, kemenangan itu bukan sekadar milik dirinya, tetapi milik seluruh rakyat Sabah dan Malaysia.

Amanah untuk generasi akan datang

Bagi Dr Stanley, mahkota yang diraih membawa tanggungjawab yang lebih besar. Beliau berharap platform yang dimiliki kini dapat dimanfaatkan untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda supaya berani bermimpi besar dan keluar dari zon selesa.

“Apabila kejayaan akhirnya menjadi milik anda, jangan sekadar menikmati pemandangan di puncak. Hulurkan tangan kepada orang lain untuk turut mendaki bersama,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada generasi muda Sabah supaya tidak menjadikan asal-usul sebagai alasan untuk membataskan impian.

“Jangan sesekali memandang rendah terhadap kemampuan diri hanya kerana anda berasal dari sebuah kampung, sebuah daerah kecil atau sebuah negeri di hujung peta Malaysia. Banggalah dengan identiti dan budaya sendiri,” tegasnya.

Apabila ditanya tentang legasi yang ingin ditinggalkan, Dr Stanley tidak menyebut tentang trofi atau gelaran.

“Saya tidak mahu dikenang hanya sebagai seorang juara antarabangsa. Saya mahu dikenang sebagai seorang anak Sabah yang membuktikan bahawa seseorang tidak perlu memilih antara kerjaya, pendidikan dan impian. Kita boleh cemerlang dalam semuanya jika mempunyai disiplin dan keberanian.”

Mahkota itu milik Stanley. Tepukan itu milik Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal