KV Keningau juara keseluruhan empat kali berturut-turut

mainpic1

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KENINGAU: 12 Julai 2026 – Kolej Vokasional (KV) Keningau muncul juara keseluruhan Pertandingan KV Skills Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 buat kali keempat berturut-turut selepas meraih lapan pingat emas, tiga pingat perak, tiga pingat gangsa dan satu Anugerah Tangan Emas pada pertandingan yang berlangsung di Tawau dari 7 hingga 9 Julai lalu.

Kejayaan itu dicapai hasil kecemerlangan peserta KV Keningau dalam pelbagai kategori kemahiran, termasuk pengurusan perniagaan, terapi kecantikan, bakeri dan pastri, masakan, teknologi automotif, pemasangan jubin lantai dan dinding, lukisan, dekorasi dan juga pendidikan awal kanak-kanak.

Pencapaian paling membanggakan diraih menerusi kategori pengurusan perniagaan apabila Nur Syaidattul Akma muncul johan, beliau juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tangan Emas, iaitu pengiktirafan khas kepada peserta yang mempamerkan tahap kemahiran dan prestasi terbaik sepanjang pertandingan itu.

Selain itu, pingat emas turut dimenangi oleh Nurul Syuhadah Mohd Wafi (terapi kecantikan), Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip (bakeri dan pastri), Robinsons Gilbert (masakan), Raeny Cawagdan (teknologi automotif), Joshua Alexod (pemasangan jubin lantai dan dinding), Wester Westin (lukisan dan dekorasi) dan Alencia Rachelistha Harry (pendidikan awal kanak-kanak).

WhatsApp Image 2026 07 12 at 3.59.59 PM

KV Keningau turut meraih tiga pingat perak menerusi Deona Deney (terapi kecantikan), Aleysha Irdina Nazim (pendidikan awal kanak-kanak) dan Daphnie Limly Abdullah (penurapan bata), manakala tiga pingat gangsa disumbangkan oleh Aidelbert Lim Hiew Yang (masakan), Mohamad Firdaus M. Haris (pemasangan elektrik) dan Jennifer Joseph (pengurusan perniagaan).

Pertandingan KV Skills Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 melibatkan penyertaan sembilan kolej vokasional dari Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di mana pemenang untuk setiap kategori akan mewakili zon berkenaan ke pertandingan KV Skills peringkat kebangsaan.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata kejayaan itu membuktikan bahawa kemahiran vokasional memerlukan disiplin, ketekunan dan latihan intensif untuk dikuasai.

“Pendidikan kolej vokasional mementingkan kualiti latihan untuk melahirkan graduan yang pakar dalam bidang yang diceburi,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal