TONGOD: 8 Julai 2026 – Polis menahan dua lelaki, termasuk seorang warga Indonesia, dan merampas 37.33 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM4,100 dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran di Kampung Napagang, Tongod.
Dalam operasi itu, suspek pertama ialah lelaki warga Indonesia berketurunan Bugis berusia 21 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah. Polis merampas 31.42 gram syabu bernilai kira-kira RM3,500 dari suspek.
Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan berketurunan Kadazan berusia 35 tahun selepas polis menemui 5.91 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM600.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Beluran untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.
Menurutnya, polis akan terus memperkukuh usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan kerjasama masyarakat setempat.
Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran

