Komitmen penjawat awam penentu kejayaan SMJ 2.0

smj

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 7 Julai – Komitmen seluruh penjawat awam menjadi faktor utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.

Beliau berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan memperkukuh kerjasama strategik demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Kerjasama strategik perlu diperkukuh antara kementerian dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, di samping memperluaskan sinergi bersama sektor swasta, akademia serta komuniti untuk memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), kelmarin.

Menurut Zainudin, penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) turut menjadi elemen penting dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Justeru, SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan AI sebagai pemboleh daya strategik yang akan memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan cara kita merancang, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) menerusi konsep Review, Keep and Boost akan diperkukuhkan demi mempercepatkan proses pengurusan projek pembangunan di Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi SMJ 2.0 akan berdasarkan impak terhadap rakyat, bukan sekadar pencapaian laporan.

“Bagi SMJ 2.0, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan dinilai bukan dari segi mutu pelaporan tetapi sejauh mana ia memberi impak kepada kesejahteraan rakyat Negeri Sabah,” katanya.

SMJ 2.0 memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur dan kelestarian hijau dengan sokongan pemanfaatan AI, ekonomi biru dan pembangunan inklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal