KOTA KINABALU: 30 Jun 2026 – Sebanyak 38 kesatuan sekerja di Sabah menerima geran RM310,000 di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 untuk memperkasa pembangunan organisasi, kepimpinan dan kemahiran ahli, selaras dengan keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan tempatan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan modal insan kekal menjadi teras utama bagi memastikan rakyat Sabah mampu mengisi peluang pekerjaan berkualiti tinggi hasil pelaburan baharu dan pembangunan sektor strategik.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan Sabah tidak boleh diukur hanya melalui pembangunan fizikal, nilai pelaburan atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, pendapatan bermaruah dan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera.
“Pembangunan ekonomi Sabah perlu disokong oleh tenaga kerja yang berkemahiran, produktif dan berdaya saing,” kata ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Penyerahan Geran PHEKS 2026 di Hotel Magellan Sutera, kelmarin.

Jelas Hajiji, geran PHEKS itu selaras dengan usaha kerajaan memperkasa modal insan menerusi latihan kemahiran, reskilling dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi memenuhi keperluan industri.
“Matlamat kita adalah membina sebuah Sabah yang makmur, berdaya saing dan inklusif. Kita mahu melihat lebih ramai anak Sabah menjadi jurutera, teknologis, juruteknik mahir, saintis data, pakar kecerdasan buatan (AI) dan pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan bahawa dunia pekerjaan kini melalui transformasi besar dipacu teknologi digital, automasi dan AI, sekali gus menuntut tenaga kerja memiliki kemahiran baharu untuk kekal relevan.
Beliau juga menekankan peranan kesatuan sekerja sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan pekerja dan memupuk hubungan perusahaan harmoni melalui pendekatan tripartisme membabitkan kerajaan, majikan dan pekerja demi meningkatkan produktiviti, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Di sebalik setiap kejayaan pembangunan Sabah, katanya, terdapat jutaan tenaga dan pengorbanan pekerja dalam pelbagai sektor yang menjadi nadi penggerak ekonomi negeri. Justeru, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Geran PHEKS 2026 yang diterima akan digunakan untuk program pengukuhan tadbir urus, pembangunan kepimpinan dan peningkatan kemahiran ahli kesatuan sekerja.

