Kerajaan belum dedah laporan akhir JKK MA63 – Akta Rahsia Rasmi 1972

IMG 8547 1

KUALA LUMPUR: 29 Jun 2026 – Kerajaan masih mengekalkan keputusan untuk tidak mendedahkan Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada umum kerana ia mengandungi perkara berkaitan perbincangan teknikal dan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Belud, YB Isnaraissah Munirah Majilis, pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata daripada 29 tuntutan yang dibincangkan di bawah platform rasmi MA63, sebanyak 13 perkara telah diselesaikan, lima perkara diselesaikan secara interim manakala 11 perkara masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, empat daripada 11 tuntutan yang masih belum selesai ialah royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Katanya, keempat-empat perkara itu kini berada di peringkat pertimbangan dan keputusan tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.

Terdahulu, Munirah meminta kerajaan menjelaskan bilakah laporan yang disiapkan pada 2019 itu akan didedahkan kepada umum kerana percaya ia menjadi asas rundingan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

“Saya tanya bilakah kerajaan akan buka laporan ini kepada pengetahuan umum kerana saya percaya laporan ini juga adalah asas perundingan kepada kerajaan-kerajaan selepas ini.

“…ada empat perkara daripada 11 perkara yang tadi Yang Berhormat Menteri cakap, ada empat perkara yang paling orang Sabah mahu tahu iaitu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum. Kedua, mineral minyak dan medan minyak. Ketiga, Akta Laut Wilayah (Akta 750) dan keempat hak negeri ke atas pelantar benua.

“Kenapa saya petik empat perkara ini? Sebab empat perkara ini gantung daripada selepas laporan akhir itu yang tadi saya tanya,” katanya.

Munirah berkata sekiranya laporan itu menjadi asas kepada rundingan MA63 sejak beberapa tahun lalu, rakyat Sabah juga berhak mengetahui kandungannya supaya proses pelaksanaan hak-hak Sabah dapat difahami dengan lebih telus.

Dalam soalan tambahan sama, beliau turut membangkitkan status tuntutan supaya Sabah dan Sarawak mempunyai 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.

Menjawab perkara itu, Mustapha berkata tuntutan berkenaan masih belum selesai dan kini dalam proses kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata sebarang pertambahan kerusi Parlimen memerlukan kajian persempadanan semula dan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal