KOTA KINABALU: 27 Jun 2026 – Kerajaan Sabah terus memperkukuh komitmen dalam membangunkan industri kreatif negeri apabila Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 untuk menyokong aktiviti industri kreatif tempatan.
Pengumuman itu dibuat pada Majlis Golden Wind Award Kali Ke-4 di Hotel 7 Suria Sabah, semalam.
Sumbangan itu dijangka membantu pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif pembangunan industri kreatif di Sabah untuk terus aktif menghasilkan karya meskipun berdepan kekangan dana, infrastruktur dan akses pasaran yang lebih luas.
Menteri berkenaan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan penganjuran Golden Wind Award sebagai pengiktirafan penting kepada bakat dan usaha penggiat seni tempatan yang selama ini terus berkarya dalam membangunkan ekosistem perfileman negeri.
“Industri kreatif bukan lagi sekadar platform hiburan, sebaliknya merupakan sektor ekonomi baharu yang berperanan besar dalam menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh identiti budaya dan warisan Sabah,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang merangka Blueprint Ekonomi Kreatif Sabah yang lebih menyeluruh, melibatkan pembangunan bakat, latihan, pembiayaan, pemasaran, infrastruktur produksi dan perlindungan kebajikan penggiat seni.
“Satu sesi Town Hall Ekonomi Kreatif Sabah akan diadakan dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklum balas langsung dari penggiat industri sebelum dasar dimuktamadkan. Langkah itu bertujuan memastikan dasar yang dibentuk benar-benar memenuhi keperluan industri di peringkat akar umbi,” tambahnya.
Beliau menyeru agar penggiat seni terus menghasilkan karya berkualiti dan menjadikan Sabah sebagai peneraju ekonomi kreatif negara, selain membawa identiti dan cerita Sabah ke peringkat dunia.

