Tidur empat jam sehari selama 12 hari, Casharina raih PNGK 4.0

23048ffa c9f8 4774 84c7 51becb97a781 5256BEEB 8FA6 4BEC 9FC2 C5393BC05065

Oleh: Roodwill

RANAU: Tidur hanya empat jam sehari selama 12 hari berturut-turut sehingga menjejaskan kesihatannya dan memerlukan rawatan di hospital. Itulah antara pengorbanan yang dilalui Casharina Tugoh dalam usaha mengejar kecemerlangan akademik sebelum akhirnya berjaya meraih PNGK 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

66d18bcc 75cf 40ea bf27 a19394c717ab 5C1C9BAB DB2A 40E9 B105 34F548AFE056

Namun kejayaan itu tidak datang dengan mudah. Semuanya bermula selepas Casharina berdepan satu kegagalan yang pernah mengecewakannya.

Kegagalan diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) menjadi titik perubahan yang mendorongnya untuk membuktikan kemampuan diri.

“Peristiwa itu telah menyebabkan saya untuk berazam, dan menjadi tekad dalam diri saya untuk mencapai keputusan yang cemerlang, kerana saya percaya bahawa Tuhan menempatkan saya di sini dan sudah pastinya Tuhan punya rencana terbaik,” katanya.

Pada peringkat awal pengajian di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, keputusan yang diperoleh Casharina bukanlah sesuatu yang membanggakan.

“Walaupun pada awalnya keputusan saya di STPM cukup-cukup makan tetapi saya memaksa diri saya untuk bangkit kembali,” katanya.

Perjalanan itu turut dipenuhi kekecewaan apabila keputusan yang diperoleh tidak sentiasa mencapai sasaran yang diharapkan.

“Bayangkan bila sudah belajar sungguh-sungguh tetapi keluar keputusan tidak mencapai target dan pointer yang rendah. Itulah yang saya hadapi semasa di STPM,” katanya.

Ketika berdepan detik tersebut, guru-guru menjadi antara individu yang banyak membantu Casharina untuk terus bertahan.

“Apa yang menyebabkan saya bangkit semula ialah guru-guru saya. Saya sering meluahkan kekecewaan saya dan perasaan saya terhadap mereka.

“Mereka sangat sporting dan menjadi kekuatan bagi saya,” katanya.

Selain mendapatkan sokongan dari guru, Casharina turut menjadikan video-video motivasi sebagai sumber inspirasi ketika berdepan tekanan.

Bagi Casharina, cabaran terbesar sepanjang pengajian bukanlah subjek tertentu tetapi sifat malas yang boleh menyebabkan seseorang menangguhkan tugasan dan hilang fokus terhadap matlamat.

“Bila kita memiliki sifat malas, kita akan sering menunda-nunda waktu untuk menyiapkan tugasan, kerja kursus dan juga belajar.

“Hal ini boleh menyebabkan stres menjadi tidak terkawal,” katanya.

Keazaman untuk berjaya mendorong Casharina menghabiskan antara lima hingga tujuh jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

Menjelang peperiksaan Semester 2, dia pernah tidur hanya empat jam sehari selama 12 hari berturut-turut bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia.

“Saya memiliki 24 jam dalam sehari tetapi saya hampir tidak memiliki waktu untuk merehatkan diri secara cukup.

“Saya boleh katakan masa saya untuk mengulang kaji boleh mencapai lima hingga tujuh jam sehari dan jika tiada kerja sekolah saya akan teruskan ulang kaji berbanding mengambil waktu rehat,” katanya.

Ramai tidak mengetahui sebahagian besar masa Casharina digunakan untuk belajar, termasuk melalui telefon bimbit yang sering disangka digunakan untuk hiburan.

“Mereka melihat saya fokus bermain telefon tetapi mereka tidak tahu bahawa saya belajar melalui telefon tersebut.

“Apabila mereka belajar saya belajar, apabila mereka tidur saya bangun untuk belajar,” katanya.

Jadual yang padat itu akhirnya memberi kesan kepada kesihatannya.

Casharina berkata dia sering mengalami demam, pening kepala dan gastrik akibat kurang rehat sehingga pernah dimasukkan ke hospital kerana keletihan melampau.

“Saya pernah masuk hospital kerana badan terlalu penat sehingga doktor menasihatkan saya untuk menjaga rehat dan pemakanan saya,” katanya.

Di sebalik cabaran yang dihadapi, keluarga sentiasa menjadi sumber kekuatan yang membantunya terus bertahan.

“Meskipun saya sendiri selalu berkata ingin berhenti tetapi bila mengingat mereka, hati saya kembali menjadi kuat menghadapinya,” katanya.

Akhirnya, segala usaha yang dicurahkan selama dua tahun membuahkan hasil apabila Casharina melihat PNGK 4.00 tertera pada slip keputusan STPM.

Ketika itu, segala cabaran, tekanan dan pengorbanan yang dilalui kembali bermain di fikirannya.

“Semasa saya melihat keputusan tersebut, terus saya ingat Tuhan. God is so good,” katanya.

Hari ini, Casharina melihat kegagalan yang pernah mengecewakannya dari sudut yang berbeza.

“Sebelum ini saya selalu mengatakan bahawa saya masuk STPM kerana saya gagal di IPG.

“Tetapi sekarang saya mengatakan bahawa saya gagal di IPG kerana saya mampu mendapat keputusan yang terbaik di sini,” katanya.

Selepas ini, Casharina berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru dan menceburi bidang pendidikan kerana percaya mampu menjadi contoh dan teladan kepada generasi muda.

Casharina juga berharap memperoleh tajaan biasiswa bagi membantu meneruskan pengajian dan mengurangkan beban keluarga.

Mengakhiri perkongsiannya, Casharina berpesan kepada pelajar lain agar sentiasa rajin dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

“STPM bukan sekadar memerlukan kepandaian atau kepintaran tetapi sangat memerlukan kerajinan.

“Jangan sekali-kali berhenti untuk belajar selagi kertas jawapan dan pen belum ada di tangan kamu. Ingat apa yang telah kamu mulakan, di situ Tuhan mula bekerja. Ora et labora,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal