Sabah SME Fest 2026, 60 pempamer, sasar 5,000 pengunjung

photo 2026 06 20 12 06 51

KOTA KINABALU: 19 Jun 2026 — Sabah SME Fest 2026 dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) menghimpunkan lebih 60 usahawan pempamer dengan sasaran 5,000 pengunjung sepanjang festival tiga hari itu.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata festival bersempena Minggu PMKS itu menjadi platform mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan, dan memperluaskan akses pasaran.

“Sabah SME Fest 2026 merupakan festival julung kali dianjurkan DIDR dan menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan, institusi kewangan, badan pembangunan usahawan dan sektor swasta dalam satu platform menyeluruh.

“Ia bukan sahaja mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS, tetapi turut menjadi ruang untuk jaringan strategik, perkongsian ilmu dan penerokaan peluang perniagaan yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada usahawan Sabah,” katanya ketika merasmikan festival berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Ewon berkata program itu membantu PMKS meningkatkan daya saing melalui pendedahan kepada pelbagai bentuk sokongan kerajaan dan rakan strategik termasuk latihan keusahawanan, pendigitalan perniagaan, bantuan mesin dan peralatan, pensijilan dan peluasan akses pasaran.

Katanya, festival berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengguna, pembeli berpotensi, agensi kerajaan dan rakan industri.

Kerajaan negeri turut memperkenalkan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta dan memperluaskan pelaksanaan Program Bantuan SME-UP 2026 untuk membantu PMKS berkembang secara mampan.

MINDET juga bekerjasama dengan TikTok Shop Malaysia menerusi Sabah DigitalUp Launchpad 2026 yang menyasarkan penyertaan 1,000 PMKS, RM10 juta nilai jualan digital dan pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan dan sokongan komuniti.

“Kerjasama strategik seperti Sabah DigitalUp Launchpad 2026 dan Kempen Sabah Digital Mall di TikTok membolehkan PMKS mengembangkan pasaran mereka melalui platform digital dan menembusi pasaran lebih luas di peringkat nasional dan serantau,” katanya.

Ewon berkata antara cabaran utama PMKS di Sabah ialah meningkatkan produktiviti, memperluaskan akses pasaran dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan pendigitalan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri terus komited membantu usahawan melalui pelbagai program pembangunan PMKS termasuk bantuan SME-UP, latihan keusahawanan dan program pendigitalan perniagaan.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah berkembang dari jenama tempatan ke kebanggaan nasional dan serantau, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi kewangan, sektor swasta dan penyedia teknologi, kita dapat memastikan usahawan mendapat akses kepada latihan, pembiayaan, pendigitalan, pemasaran dan peluang jaringan yang diperlukan untuk terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone J. Kurum; Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin; dan Pengarah DIDR, Siti Nur’Ain Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal