Gagasan Rakyat Perkukuh Jentera, Lantik Enam Pengerusi Zon Hadapi PRU Akan Datang

photo 2026 06 19 09 37 25

KOTA KINABALU: 19 Jun 2026 – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memperkukuhkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menerusi pelantikan enam pengerusi zon bagi menyelaras gerak kerja dan pemantauan jentera parti di seluruh Sabah.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat parti yang turut memberi tumpuan kepada persediaan awal menjelang PRU akan datang, walaupun tempoh Parlimen semasa hanya dijangka berakhir pada penghujung tahun depan.

Menurutnya, pelantikan pengerusi zon berkenaan bertujuan mendapatkan laporan berkaitan tahap kesiapsiagaan bahagian-bahagian parti mengikut kawasan yang telah ditetapkan.

Beliau sendiri dilantik mengetuai Zon Satu yang meliputi kawasan Parlimen Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran. Zon Dua yang merangkumi Sepanggar, Penampang dan Putatan dipengerusikan oleh Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Sementara itu, Tan Sri Anifah Aman diberi tanggungjawab mengetuai Zon Tiga iaitu Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, manakala Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam mengetuai Zon Empat yang merangkumi Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom.

Bagi Zon Lima yang meliputi Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan, ia dipengerusikan oleh Datuk Chin Su Phin. Zon Enam pula yang merangkumi Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna dipimpin oleh Tan Sri Liu Yong Foo.

Selain menjalankan pemantauan terhadap persiapan bahagian-bahagian parti, pengerusi zon yang dilantik turut diberi tanggungjawab melaksanakan pelbagai tugas lain bagi memastikan Gagasan Rakyat berada dalam keadaan siap menghadapi pilihan raya.

Hajiji berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan parti untuk memperkemaskan struktur organisasi serta memperkukuh jentera di semua kawasan Parlimen di Sabah sebagai persediaan awal menghadapi PRU akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal