KOTA KINABALU: 17 Jun 2026 – Anak jati Papar, Datuk Ag Sharin Alimin dan Datuk Masnah Matsalleh dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, kelmarin.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan.
Kedua-dua penerima membawa pulang wang tunai RM25,000 hasil sumbangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), selain menerima trofi, sijil penghargaan, pakej menunaikan umrah tajaan Tabung Haji Travel dan set peranti digital sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Ag Sharin yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin dan Kemasyarakatan serta Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam diiktiraf atas sumbangan besar dalam pembangunan masyarakat, termasuk usaha membina dan menaik taraf masjid, dewan dan bilik kuliah.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam negeri, khususnya melibatkan penyelarasan antara agensi dan penggubalan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Sementara itu, Masnah yang memperoleh pendidikan awal di Maktab Sabah sebelum melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) dan seterusnya meraih Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Edith Cowan University, Australia, diiktiraf atas khidmat cemerlangnya sepanjang lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam negeri.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Hal Ehwal Wanita Sabah, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Antara pencapaian penting beliau ialah penubuhan Unit Bantuan Guaman Hal Ehwal Wanita dan pelaksanaan Rumah Perlindungan Wanita Sabah, selain memperkasa pembangunan modal insan dan tadbir urus pihak berkuasa tempatan.
Masnah turut memainkan peranan penting ketika pandemik COVID-19 sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 Sabah bagi memastikan pelaksanaan program vaksinasi berjalan lancar di seluruh negeri, sebelum meneruskan khidmat di peringkat nasional sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.
Pada majlis sama, Anugerah Pengurusan Masjid Cemerlang dimenangi Masjid Imam Haji Awang Hashim Pekan Sipitang, diikuti Masjid Jamek Yusuf Al-Qardhawi Telupid dan Masjid Haji Mohd Yaakub Misir Kampung Beringgis masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi Anugerah Pengurusan Ar-Raudah Cemerlang (Taman Perkuburan Islam), Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Pekan Menumbok muncul johan, diikuti Tanah Perkuburan Mihah Kampung Merintaman, Sipitang dan Taman Firdaus Tanah Perkuburan Kampung Pimping, Membakut.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib; Menteri Belia, Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.
