PENAMPANG: 11 Jun 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan selepas disyaki menyimpan pelbagai spesies hidupan liar tanpa permit dalam serbuan di Kampung Nambazan, Penampang semalam.
Suspek ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang susulan maklumat orang awam.
Ketua PPM Wilayah 4 Sabah berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan permit pemilikan hidupan liar yang sah di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Antara spesies yang dirampas ialah seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor burung Bornean Crested Fireback, tiga ekor burung Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya serta seekor ular sawa batik.
Kesemua hidupan liar itu dianggarkan bernilai RM47,500.
Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur kesalahan lain berkaitan pemilikan dan perdagangan hidupan liar secara haram.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam usaha membanteras aktiviti pemilikan serta perdagangan hidupan liar secara haram di negeri ini.
