KOTA KINABALU: 11 Jun 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melumpuhkan 12 sindiket pusat panggilan dan satu rangkaian pengedaran dadah selepas menahan 344 individu dan merampas pelbagai aset serta bahan terlarang bernilai hampir RM9.1 juta menerusi dua operasi khas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan, tindakan bersepadu pasukan polis serta kerjasama agensi penguat kuasa dan orang awam.
Beliau berkata, menerusi Ops Pelican, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah menahan 341 individu berusia antara 17 hingga 60 tahun dalam operasi di Kota Kinabalu, Labuan, Tawau, Sandakan dan Penampang.

Sindiket berkenaan dipercayai menjalankan pelbagai bentuk penipuan termasuk pelaburan tidak wujud, pelaburan saham palsu, penipuan cinta, pinjaman tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis, perjudian dalam talian dan aktiviti pemindahan wang berkaitan penipuan rentas sempadan.
Polis merampas 1,542 barang kes membabitkan 1,109 telefon bimbit, 148 unit komputer dan komputer riba, wang tunai RM210,265 bersama dokumen dan peralatan komunikasi lain bernilai keseluruhan melebihi RM1.1 juta.
Dalam operasi berasingan menerusi Op Bayu 9, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sekitar Kota Kinabalu dan Inanam.
Rampasan membabitkan 159.8 kilogram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM7.99 juta yang ditemukan dalam 156 bungkusan, termasuk di dalam sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran.

Jauteh berkata, jumlah dadah itu dianggarkan mampu membekalkan lebih 454,000 kali penggunaan kepada penagih sekiranya berjaya menembusi pasaran tempatan.
Beliau menegaskan, kejayaan kedua-dua operasi itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM Sabah dalam membanteras jenayah komersil, sindiket penipuan antarabangsa dan aktiviti pengedaran dadah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, PDRM Sabah akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan operasi berterusan bagi memastikan negeri ini kekal selamat dari ancaman jenayah terancang dan kegiatan dadah.
