Lebih 1,300 Tapak Sulaiman Berduri Dihapuskan, Terumbu Karang Pantai Timur Sabah Diselamatkan

5f8d1cdf 2ea3 45d5 9530 f3d6d9bc8707

SEMPORNA: Lebih 1,300 ekor Tapak Sulaiman Berduri (Crown-of-Thorns Starfish, COTs) berjaya disingkirkan dari kawasan terumbu karang di sekitar Pulau Tabawan dan Pulau Adal menerusi operasi konservasi marin yang digerakkan oleh komuniti setempat untuk menangani ancaman terhadap ekosistem terumbu karang di pantai timur Sabah.

Operasi selama dua hari bermula 1 hingga 2 Jun lalu melibatkan penyelam terlatih dari Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG) Selakan, Larapan, Mabul dan Kunak yang digerakkan untuk menilai dan mengawal penularan spesies pemangsa karang tersebut.

Hasil operasi, sebanyak 1,318 ekor Tapak Sulaiman Berduri berjaya dikeluarkan, dengan 742 ekor direkodkan di Pulau Tabawan manakala 576 ekor lagi ditemui di sekitar Pulau Adal.

Pemerhatian lapangan mendapati kebanyakan COTs di Pulau Tabawan tertumpu pada kedalaman antara 18 hingga 20 meter, dipercayai berikutan kawasan terumbu cetek telah terjejas teruk akibat serangan terdahulu. Di Pulau Adal pula, majoriti spesies itu ditemui pada kedalaman satu hingga 10 meter, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap habitat karang yang masih sihat di kawasan berkenaan.

Pasukan pemantau turut merekodkan kesan pemangsaan terhadap komuniti karang yang masih berbaki, termasuk karang lembut, menunjukkan pengurangan sumber makanan utama spesies tersebut di beberapa kawasan terumbu yang telah mengalami degradasi.

Tanda-tanda pemutihan karang turut dikesan di kedua-dua lokasi namun berada pada tahap rendah, iaitu kurang daripada 10 peratus liputan.

Kehadiran jaring hantu (ghost nets) juga direkodkan, mencerminkan tekanan berterusan dari sisa marin terhadap kesihatan ekosistem terumbu karang.

Menurut Reef Check Malaysia, kejayaan operasi berkenaan membuktikan keberkesanan pendekatan konservasi berasaskan komuniti dalam bertindak balas secara pantas terhadap ancaman yang muncul di perairan Sabah.

Bagaimanapun, usaha pemantauan dan tindak balas berterusan perlu diperkukuhkan terutama di kawasan Tabawan, Silumpat, Bakungan dan Adal bagi mengesan kemungkinan berlakunya penularan baharu pada masa hadapan.

Komuniti penyelam tempatan turut menegaskan peranan masyarakat pesisir amat penting kerana mereka berada di lapangan dan berupaya mengesan ancaman lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius.

Reef Check Malaysia bersama rakan-rakan konservasi komuniti menggesa penyelam, pengusaha pelancongan, nelayan dan penduduk pesisir pantai di seluruh Sabah, khususnya di pantai timur, supaya melaporkan sebarang kejadian pemutihan karang yang serius atau kehadiran luar biasa Tapak Sulaiman Berduri untuk membolehkan tindakan awal diambil.

Terumbu karang yang sihat memainkan peranan penting dalam menyokong sektor perikanan, pelancongan, perlindungan pantai dan kepelbagaian biologi, justeru kerjasama semua pihak dilihat penting demi memastikan kelestarian ekosistem marin Sabah untuk generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal