Akaun media sosial remaja bawah 16 tahun disekat mulai hari ini

Gambar Tunggu 16

KUALA LUMPUR: 1 Jun 2026 – Bermula hari ini, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun di platform media sosial tertentu susulan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Langkah yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada penyedia platform digital untuk melindungi pengguna muda dari pelbagai risiko dalam talian, termasuk eksploitasi seksual, buli siber, penipuan dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Melalui peraturan baharu itu, syarikat media sosial dan perkhidmatan dalam talian diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur yang lebih berkesan untuk menghalang kanak-kanak bawah 16 tahun mendaftar akaun tanpa kebenaran atau pengesahan yang sewajarnya.

Selain itu, platform terbabit perlu memastikan akaun pengguna bawah umur dilengkapi tetapan privasi yang lebih ketat secara automatik, di samping mengehadkan interaksi dari individu tidak dikenali dan mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai.

Pada masa sama, Kod Mitigasi Risiko (RMC) yang turut berkuat kuasa hari ini menghendaki penyedia platform menjalankan penilaian risiko secara berkala, memperkukuh sistem pelaporan kandungan berbahaya dan mengambil tindakan segera terhadap kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.

MCMC memaklumkan penguatkuasaan kedua-dua kod tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan digital negara, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan remaja yang semakin terdedah kepada pelbagai ancaman di alam siber.

Menurut suruhanjaya itu, perlindungan kanak-kanak dalam talian bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, komuniti dan syarikat teknologi untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Pelaksanaan kod baharu yang bermula 1 Jun ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan ruang digital negara lebih bertanggungjawab dan mesra kanak-kanak selaras dengan perkembangan teknologi serta cabaran keselamatan siber semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal