Tekad martabatkan budaya Dusun Labuk – Cyra UNK Telupid

Gambar Cyra Eva UNK Telupid

TELUPID: 25 Mei 2026 – Dengan keberanian meninggalkan zon selesa, Cyra Eva Bella Stephen, 21, melangkah ke pentas Unduk Ngadau (UN) kali pertama dengan tekad besar: membuktikan dirinya mampu bersaing hingga ke peringkat negeri, sekaligus memartabatkan budaya Dusun Labuk dari daerah Telupid ke pentas prestij di KDCA.

Gadis dari Kampung Gambaron itu berkata, penyertaannya dalam UN bukan sekadar mencuba nasib, sebaliknya menjadi platform membina keyakinan diri sambil memperkenalkan budaya serta keunikan Dusun Labuk kepada masyarakat.

Cyra yang kini bertugas sebagai guru ganti di Sekolah Kebangsaan Pekan Telupid mengakui, keputusan menyertai pertandingan tersebut pada awalnya diselubungi keraguan. Namun, dorongan keluarga, terutamanya ibu saudaranya, menjadi titik perubahan yang mendorongnya tampil di pentas pertandingan.

“Pada mulanya saya sendiri ragu-ragu, sama ada mahu sertai atau tidak. Tetapi keluarga banyak memberi semangat dan yakin saya mampu melakukannya,” katanya kepada TV Sabah.

Menurutnya, pengalaman pertama menyertai UN di daerah sendiri membuka banyak ruang pembelajaran, terutama dalam aspek komunikasi, disiplin, dan pemahaman budaya Dusun Labuk.

Beliau mengakui antara cabaran terbesar sepanjang persiapan ialah menguasai bahasa Dusun Labuk yang masih belum begitu fasih dituturkannya. Proses latihan menjadi medan untuknya mendalami bahasa ibunda sendiri, selain memperbaiki keyakinan ketika berkomunikasi di khalayak ramai.

IMG 5766.JPG
Cyra Eva mewakili Telupid ke pentas Unduk Ngadau Negeri Sabah. Foto – Chet Photographer

“Sedikit demi sedikit saya belajar. Sekarang saya semakin faham serta lebih yakin menggunakan bahasa Dusun Labuk,” katanya.

Selain cabaran bahasa, Cyra turut berdepan tekanan fizikal dan emosi sepanjang tempoh latihan sehingga mengalami migrain dan masalah ulser mulut beberapa hari sebelum pertandingan akhir daerah. Walaupun berdepan situasi itu, beliau tetap meneruskan latihan demi memastikan penampilannya berada pada tahap terbaik.

Katanya, pengorbanan keluarga menjadi sumber kekuatan terbesar untuknya terus melangkah ke hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekangan kewangan.

Mengulas persiapan ke peringkat negeri, Cyra berkata beliau kini memberi fokus untuk memantapkan penguasaan bahasa ibunda dan meningkatkan keyakinan diri agar mampu berdiri sebaris dengan finalis lain. Untuk pertandingan negeri nanti, beliau memilih mengenakan busana tradisional Subung Impit Livogu, iaitu antara pakaian tradisi Telupid yang telah mendapat pengiktirafan KDCA.

Sementara itu, Cyra mengakui menerima pandangan negatif dari segelintir pihak yang mempertikaikan kemenangannya di peringkat daerah. Namun baginya, setiap kritikan dijadikan pembakar semangat untuk terus membuktikan kemampuan diri.

“Saya tidak mampu menutup mulut orang, tetapi saya boleh jadikan semua kata-kata itu sebagai motivasi untuk terus maju dan buktikan bahawa saya layak berada di sini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal