TUARAN: Di sebalik kelembutan dan ketenangannya di pentas Unduk Ngadau Kaamatan, Catsween Su Sun Ping, juara Unduk Ngadau Kiulu 2026, mengakui pernah melalui saat-saat sukar yang menguji dirinya sepanjang pertandingan.
Catsween, usahawan wanita berusia 25 tahun dari Kampung Panjut, Tuaran suka belajar perkara baharu dan percaya bahawa kelembutan dan keyakinan mampu berjalan seiring.

“Pernah ada saat saya terlalu penat memikul harapan, tekanan dan emosi sendiri sampai hampir memilih untuk berhenti. Tapi saya sedar, kekuatan sebenar bukan pada tidak pernah jatuh tetapi pada keberanian untuk bangkit semula walaupun hati pernah retak.
“Ramai anggap kelembutan itu kelemahan, sedangkan saya memilih tenang kerana saya belajar bahawa tidak semua kekuatan perlu ditunjukkan dengan suara yang keras,” katanya.

Catsween pernah mewakili UNK Tongod @ DUN Kuamut pada 2019, suatu pengalaman yang banyak membentuk dirinya, katanya, “Pengalaman ini mengajar saya bahawa kecantikan sebenar bukan hanya pada penampilan tetapi pada keberanian untuk bangkit, berkembang dan percaya pada nilai diri sendiri.
“Saya memilih untuk selalu introspeksi diri bagi menenangkan hati, memfokuskan fikiran dan mengingati semula tujuan perjuangan saya agar setiap langkah kekal positif dan bermakna,” katanya.

Di luar pentas pertandingan, Catsween mengakui dia lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan membantu orang di sekelilingnya, katanya, “Kehidupan sederhana dan nilai kekitaan dalam masyarakat Kiulu banyak membentuk cara saya melihat dunia hari ini.
“Keaslian kelemah-lembutan wanita Kiulu dan sayang kepada tradisi dan budaya sememangnya menyerlah.
“Saya mahu membawa identiti masyarakat Kiulu yang kaya dengan nilai kesopanan, semangat kebersamaan dan rasa sayang terhadap tradisi ke pertandingan peringkat negeri di Hongkod Koisaan KDCA nanti.

“Wanita muda masih mampu menjadi inspirasi tanpa perlu meninggalkan identiti budaya sendiri,” kata Catsween.
Setelah merenung sejenak, Catsween berkata dengan nada tenang, “Unduk Ngadau Kaamatan bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi ruang untuk wanita muda lebih mengenali budaya, membina keyakinan diri dan belajar memahami kekuatan diri sendiri.

Catsween gadis Kiulu sememangnya mahu dikenali bukan hanya sebagai juara, tetapi sebagai seorang wanita yang tetap memilih untuk membawa dirinya dengan tenang, dan penuh hormat terhadap budaya yang membesarkannya.
