Juje kembali ke pentas Unduk Ngadau dengan tujuan lebih besar

fc9e8621 f896 4f0f b4e0 da1492c9c64a

TUARAN: Pernah mengetepikan impiannya untuk melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan keluarga menjadi antara pengalaman paling membentuk perjalanan hidup Juje Elor @ Francis sebelum kembali melangkah ke pentas Unduk Ngadau.

Bagi juara Unduk Ngadau Kaamatan Tuaran 2026 berusia 23 tahun itu, kehidupan dalam keluarga besar mengajar dirinya memahami erti pengorbanan, berdikari dan ketabahan sejak usia muda.

Sebagai anak bongsu daripada 14 adik-beradik, Juje berkata beliau membesar dalam suasana sederhana dan melihat sendiri pengorbanan ibu bapanya membesarkan keluarga dalam serba kekurangan.

“Ramai menganggap saya mesti anak paling manja, tetapi sebenarnya kami semua sama sahaja.

“Melihat ibu dan ayah berjaya membesarkan kami dalam serba kekurangan, ia mengajar saya untuk lebih kuat dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Juje turut mengakui pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran, namun terpaksa melupakan hasrat itu untuk sementara waktu kerana keadaan kewangan keluarga ketika itu.

Bagaimanapun katanya, pengalaman itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berusaha membina kehidupan sendiri dan membantu keluarga.

“Saya memilih untuk bekerja dahulu sebelum melanjutkan pelajaran dan syukur, dalam masa singkat saya diterima bekerja sebagai pramugari.

“Dengan pekerjaan ini saya juga dapat membantu keluarga saya,” katanya.

Menurut pramugari AirAsia itu, pengalaman bekerja dan bertemu pelbagai budaya turut membuatkan beliau semakin menghargai identitinya sebagai anak Sabah.

Katanya, setiap kali bertemu masyarakat dari pelbagai negara dan latar belakang, beliau semakin sedar budaya Sabah mempunyai identiti yang unik dan wajar dibanggakan.

“Apabila saya bertemu dengan pelbagai budaya dan latar belakang, saya semakin sedar budaya kita juga mempunyai identiti yang unik.

“Pengalaman itu membuatkan saya lebih menghargai siapa diri saya sebagai anak jati Sabah,” katanya.

Jelas Juje, pengalaman sekadar berada dalam kelompok Top 15 pada pertandingan Unduk Ngadau sebelum ini turut banyak mengubah cara beliau melihat makna sebenar platform warisan budaya itu.

Jika pada 2023 lebih fokus dengan persediaan luaran dan keyakinan di pentas, kini Juje melihat Unduk Ngadau sebagai ruang untuk membawa suara budaya dan komuniti ke peringkat lebih luas.

“Dulu, saya lebih fokus kepada penampilan, cara bercakap dan bagaimana untuk tampil yakin di pentas.

“Tapi sekarang, saya lebih memahami bahawa Unduk Ngadau bukan sekadar itu. Ia tentang membawa makna, nilai dan tanggungjawab sebagai wakil budaya,” katanya.

Menurutnya, beliau kini lebih tenang dan yakin dengan dirinya sendiri berbanding sebelum ini.

“Bukan lagi sekadar mahu memberi jawapan yang ‘betul’, tetapi mahu bercakap dengan jujur dan datang dari hati,” katanya.

Juje berkata, hasratnya untuk menjadi “suara komuniti” bukan sekadar slogan pertandingan, sebaliknya tanggungjawab untuk memastikan warisan budaya terus relevan dan dihargai generasi muda.

“Bagi saya, menjadi suara komuniti adalah mendengar dan memahami cabaran masyarakat hari ini.

“Saya mahu menggunakan platform ini untuk memperjuangkan warisan kita supaya terus relevan, dihormati dan dibanggakan,” katanya.

Bagaimanapun Juje mengakui perjalanan untuk kembali ke pentas Unduk Ngadau bukan sesuatu yang mudah kerana perlu membahagikan masa antara kerjaya dan persiapan pertandingan.

Katanya, jadual kerja yang padat memaksanya mencuri masa untuk membuat persiapan, namun semua pengorbanan itu akhirnya menjadikan dirinya lebih kuat dan lebih bersedia untuk kembali ke pentas berprestij Unduk Ngadau Kaamatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal