Mahkota hanyalah simbol sementara – Natalia UNK Tambunan

Natalia c1 scaled

oleh David E.

TAMBUNAN: Mahkota hanyalah simbol sementara — yang kekal adalah pertumbuhan diri, keikhlasan, dan impak positif kepada masyarakat.

Kemenangan sebenar bukan menunggu nama diumumkan di atas pentas. Kemenangan itu sudah saya rasa sejak hari saya berani melangkah keluar dari zon selesa.

Itulah kata-kata Natalia Jinui, 23 tahun, dari Kampung Rantai, Tambunan. Anak bongsu daripada empat beradik tetapi satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, Natalia pelajar tahun akhir UMS Kota Kinabalu untuk Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik dan Ekonomi) kini sedang praktikal di Sabah Credit Tambunan.

Untuk pengajian ini Natalia telah mendapat pinjaman PTPTN manakala selebihnya ditanggung oleh keluarga. “Sebab minat matematik,” katanya ketika ditanya mengapa memilih jurusan itu. Dari segi kreativiti, “Boleh menyanyi dan menganyam lah sikit-sikit,” katanya dengan tawa kecil.

“Saya ikut UNK hasil dorongan dari keluarga dan rakan-rakan. Sudah lama mereka suruh tetapi sebelum ini saya belum ada keberanian. Tahun ini mereka suruh lagi, jadi saya cabar diri, sebab saya tidak berapa boleh bercakap depan khalayak ramai – stage fright la tu,” katanya.

Detik-detik akhir sebelum namanya disebut dan diberikan mikrofon, lutut Natalia masih gemuruh. Bukan kerana sejuk – tetapi kerana selama 23 tahun, dia paling takut bercakap di khalayak ramai.

Nama Hosiani James Joimis, UNK Inanam 2018, menjadi ikon utamanya. “Sebab dia masih memperjuangkan atau memelihara budaya tradisional, seperti mencipta lagu-lagu bahasa Dusun. Dia juga menjadi suara komuniti, yang menyuarakan tentang budaya yang ada di Sabah dengan membawa imej positif kepada wanita di Sabah,” katanya.

“Yang paling rapat dengan saya ialah abang saya Nelvianus. Dialah yang sentiasa memberi update, bagi kata-kata semangat, memberi ajaran asas-asas bahasa Dusun, malah sering bertanya tentang persiapan saya di sepanjang penyertaan UNK Tambunan,” kata Natalia dengan penuh syukur sambil menganggap abangnya, guru Bahasa Kadazan Dusun, sebagai salah satu mentor.

Dalam persiapan menghadapi pertandingan UNK Tambunan sebelum ini, Natalia berkata, “Cabaran utama ialah kurang persiapan diri disebabkan pengurus saya juga pengurus beberapa yang lain sehingga tidak dapat meluangkan masa yang banyak untuk seorang sahaja. Tetapi, peserta-peserta lain sangat membantu beri semangat dan updates,” ujarnya dengan memahami.

Natalia c2

foto oleh Ewan Touche

Setelah sejenak merenung jauh Natalia berkata, “Perjalanan sebagai Unduk Ngadau bukan sekadar kecantikan atau pentas semata-mata. Ia tentang keberanian membawa identiti, budaya, dan suara generasi muda. Di sebalik senyuman dan pakaian tradisional, ada usaha, pengorbanan, dan cabaran yang dilalui untuk menjadi versi terbaik diri sendiri.

“Sepanjang perjalanan ini, saya belajar untuk lebih yakin, menghargai budaya sendiri, dan memahami bahawa setiap peserta mempunyai cerita perjuangan yang unik. Ada yang berjuang melawan rasa rendah diri, ada yang ingin membanggakan keluarga, dan ada juga yang mahu budaya kita terus dihargai oleh generasi akan datang.

“Unduk Ngadau mengajar saya bahawa kecantikan sebenar bukan hanya pada rupa, tetapi pada hati, nilai, dan keikhlasan dalam membawa budaya untuk memberi inspirasi kepada orang lain,” jelas Natalia.

Dalam persiapan terkini ke pringkat negeri, katanya, “Persiapan sentiasa update dengan AJK UNK Tambunan dan juga manager. Saya sering bertanya tentang persiapan untuk ke peringkat negeri. Ini pertama kali saya join UNK dan terus menjadi wakil peringkat negeri.”

“Saya dapat belajar banyak perkara tentang keyakinan diri, disiplin, cara berkomunikasi, dan menghargai orang di sekeliling. Dari situ saya sedar bahawa kami bukan sedang bersaing untuk menjatuhkan antara satu sama lain, tetapi sama-sama membawa martabat budaya untuk menjadi inspirasi kepada generasi muda.

Natalia Jinui4

foto oleh Ewan Touche

Mata berkaca-kaca Natalia sekali lagi merenung jauh, “Kemenangan sebenar ialah apabila saya dapat membuat keluarga bangga, lebih mengenali diri sendiri, dan menggunakan platform ini untuk menyuarakan kepentingan budaya, perpaduan, serta nilai wanita muda masa kini. Mahkota mungkin simbol kemenangan, tetapi pengalaman, pertumbuhan diri, dan kenangan sepanjang perjalanan ini adalah hadiah yang jauh lebih bermakna,” kata Natalia.

Jelasnya lagi, “Budaya dan bahasa perlu dijaga dan diwariskan kepada generasi akan datang supaya tidak hilang ditelan zaman. Ini tanggungjawab kami sebagai generasi muda untuk menghargai, mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

“Budaya kita bukan sekadar bahasa ibunda, pakaian atau tarian tradisional, tetapi juga nilai hormat, adat dan cara hidup masyarakat kita. Saya harap generasi muda akan terus bangga dengan warisan sendiri dan bersama-sama memastikan budaya dan bahasa kita terus hidup pada masa hadapan.”

Mengejar rezeki atau popularity, Natalia berkata dua perkara berbeza, “Populariti boleh berlaku hanya sementara, tetapi rezeki ini datang dengan usaha kita sendiri iaitu dengan keikhlasan dan tanggungjawab.”

Natalia tidak melihat platform UNK sebagai tempat untuk mencari perhatian semata-mata, tetapi sebagai peluang untuk belajar mengatasi diri sendiri, “Seperti yang saya katakan, saya mempunyai stage fright, tetapi juga untuk mengangkat nama daerah dan menggunakan platform untuk memberi inspirasi kepada orang lain.”

“Saya mahu dikenali bukan hanya kerana mahkota yang dipakai, tetapi kerana nilai, usaha dan impak positif yang saya ingin berikan kepada orang di sekeliling.

“Saya mahu menggunakan platform ini untuk membawa kesedaran tentang budaya, pendidikan dan isu wanita muda supaya kehadiran saya bukan hanya dirasai semasa pertandingan berlangsung, tetapi juga memberi manfaat kepada orang ramai,” kata Natalia dengan keyakinan.

Pesan Natalia kepada gadis-gadis muda, “Ingat – asal usul, budaya dan impian kamu merupakan kekuatan yang kamu ada, dan semoga kamu sendiri tahu bahawa kamu tidak perlu menjadi orang lain untuk mencapai sesuatu atau untuk berjaya, sebab semuanya bergantung pada diri sendiri.”

Mungkin ada yang tertanya-tanya, antara matematik dan UNK, mana yang lebih mudah? Natalia tersenyum dan berkata, “Dua-dua ada kelebihan dan kekurangan. Dari kita saja, macam mana mau mengatasi apa yang kita hadapi. Tetapi untuk matematik, ada jawapan yang tetap, tetapi untuk UNK kita mungkin perlu mempelajari nilai.”

Natalia Jinui bukan sekadar gadis biasa dari Kampung Rantai. Di sebalik sifatnya yang pemalu dan gementar di khalayak ramai, dia membuktikan bahawa keberanian untuk melangkah keluar dari zon selesa adalah permulaan kepada kemenangan sebenar.

Melalui platform Unduk Ngadau, dia tidak hanya mewarisi budaya dan bahasa ibunda, tetapi juga menyuarakan pentingnya kesihatan mental, perpaduan, dan inspirasi untuk generasi muda.

Baginya, mahkota hanyalah simbol sementara — yang kekal adalah pertumbuhan diri, keikhlasan, dan impak positif kepada masyarakat. Natalia adalah bukti bahawa wanita muda yang rendah hati, berani, dan bangga dengan asal usulnya mampu menjadi cahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal