Pendidik Sabah terima pengiktirafan antarabangsa di Bangkok

photo 2026 05 21 11 22 50

KENINGAU: Seorang pendidik dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Sirhajwan Idek, bakal menerima pengiktirafan antarabangsa atas sumbangan berterusannya dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan komuniti.

Dr. Sirhajwan dipilih sebagai penerima Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 untuk kategori pendidikan vokasional. Majlis penyampaian anugerah berprestij itu dijadualkan berlangsung pada 29 Mei ini di Fakulti Pendidikan Chulalongkorn University, Bangkok.

photo 2026 05 21 11 22 44

Pengiktirafan yang dianjurkan oleh International Institute of Technology itu turut melibatkan beberapa kategori lain termasuk pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah rendah, pendidikan menengah, sekolah antarabangsa serta eksekutif pendidikan.

Pemilihan Dr. Sirhajwan dibuat berdasarkan pendekatan pendidikan yang diterapkannya melalui pembelajaran berasaskan komuniti, yang memberi penekanan kepada empat komponen utama iaitu khidmat langsung, khidmat tidak langsung, advokasi dan penyelidikan berasaskan komuniti.

Melalui pendekatan tersebut, pelajar bukan sahaja berpeluang mengaplikasikan kemahiran dalam situasi sebenar, malah berjaya menghasilkan pelbagai projek khidmat masyarakat yang menerima pengiktirafan dan sokongan dari pelbagai organisasi termasuk Impact Malaysia, Arus Academy, My Starfish Foundation dan Digital Promise.

Di bawah penyeliaannya selaku Ketua Penyelidikan dan Inovasi KV Keningau, pasukan teknologi kimpalan kolej itu berjaya memperoleh geran RM15,000 untuk melaksanakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan sebuah sekolah rendah pada tahun lalu.

Selain itu, pelajar dari pelbagai program seperti bakeri dan pastri, pengurusan perniagaan, teknologi elektrik, kosmetologi dan teknologi pembinaan turut terlibat dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan. Antaranya termasuk kempen literasi kewangan, penyelidikan bersama petani, khidmat rawatan dandanan diri di rumah kebajikan warga emas, pembaikan perkakas elektrik serta kerja pemulihan rumah lama dengan sokongan geran dan dana antara RM2,000 hingga RM10,000.

Menurut Dr. Sirhajwan, ilham memperkenalkan pendekatan itu banyak dipengaruhi oleh ibunya, Hajah Bintek Hj Abdul Rahman, yang aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan membantu golongan memerlukan di Kota Belud.

Katanya, hasil pelaksanaan pendekatan tersebut menunjukkan peningkatan dari aspek penglibatan sivik, kecerdasan emosi dan daya tahan pelajar selain menerima maklum balas positif dari komuniti yang terlibat.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

“Ia bukan sahaja meningkatkan motivasi warga kolej, malah turut mengangkat martabat pendidikan vokasional ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Senarai penerima anugerah boleh diakses melalui laman web ESML Leadership Awards. – Rencana ini disusun berdasarkan maklumat dari International Institute of Technology.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal