KOTA KINABALU: 16 Mei 2026 – Seramai 72 sukarelawan menyertai Program PNB Signature Volunteerism Day 2026 anjuran ASNB Kota Kinabalu dengan kerjasama We Care Society Sabah (WCSS) yang berjaya dilaksanakan di Pantai Fasa 2 dan 3, Teluk Likas.
Program berkenaan menghimpunkan kakitangan ASNB Kota Kinabalu dan sukarelawan WCSS dalam aktiviti pembersihan pantai secara bergotong-royong, yang berjaya mengumpul sebanyak 133 kilogram sampah di kawasan terbabit.

Kerjasama strategik antara ASNB dan WCSS turut merangkumi aspek perancangan, susun atur program serta khidmat nasihat teknikal berkaitan pengurusan aktiviti kutipan sampah.
WCSS dipilih sebagai rakan teknikal berdasarkan pengalaman mereka dalam melaksanakan program pembersihan pantai dan aktiviti kesukarelaan secara berterusan.

Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang program termasuk sesi senam zumba sebagai aktiviti pemanasan badan, pertandingan kutipan sampah paling berat dan pembukaan kaunter perkhidmatan ASNB untuk kemudahan orang ramai di kawasan pantai berkenaan.
Menurut WCSS, kerjasama bersama ASNB ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang, selain menggalakkan lebih banyak agensi tampil bekerjasama dalam melaksanakan program kebajikan dan kesukarelaan yang memberi impak kepada masyarakat serta alam sekitar.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengurus Cawangan ASNB Kota Kinabalu, Zainal Molupin.
