12 peserta Sugandoi ke peringkat akhir – Evaristus

Evaristus b scaled

Oleh David E.

PENAMPANG: 19 Mei 2026 – Pertandingan separuh akhir Sugandoi yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang semalam menyaksikan 12 peserta mara ke peringkat akhir, berbanding tahun-tahun sebelum ini yang hanya membenarkan 10 peserta.

Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri 2026, Datuk Evaristus Gungkit, berkata bahawa pertandingan semalam agak berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Ketika diminta memberi penjelasan, beliau berkata, “Kesemua 12 finalis ini adalah yang terbaik. Malah, sebenarnya ramai lagi yang baik di luar sana, tetapi saya hanya mampu menambah dua orang.”

Tambahnya, penambahan dua slot itu adalah hasil perbincangan bersama jawatankuasa berdasarkan markah juri, iaitu peserta dengan markah tertinggi di kedudukan ke-11 dan ke-12.

Beliau sebenarnya berniat untuk memasukkan kesemua peserta yang layak, tetapi format sedia ada hanya membenarkan penambahan dua orang sahaja. Selain itu, pihak penganjur juga bimbang masa pertandingan pada 23 Mei nanti akan terlalu panjang sekiranya melebihi 12 peserta.

“Secara keseluruhannya, jika dibandingkan dengan Sugandoi tahun lalu, tahun ini memang ada peningkatan dari segi kemahiran persediaan peserta. Peserta lebih memahami apa yang dikehendaki oleh juri profesional, seperti yang selalu saya tekankan semasa sesi taklimat.

“Saya menjangkakan pada tahun 2027 persembahan akan lebih hebat lagi, terutamanya apabila daerah-daerah melantik juri yang berkelayakan dan berilmu, bukannya memilih juri secara sembarangan di peringkat daerah untuk memilih wakil ke peringkat KDCA.”

Jelasnya, penghantaran wakil daerah sangat bergantung kepada keputusan juri di peringkat daerah, manakala peringkat negeri hanya menerima wakil-wakil tersebut.

“Jika daerah menghantar wakil yang kurang berkualiti, itu satu cabaran. Sebaliknya, jika daerah dapat menghantar wakil terbaik, persembahan di peringkat KDCA akan lebih menarik,” katanya.

Merujuk kepada perkembangan peserta yang semakin profesional, beliau berkata, “Kelebihan sekarang, semakin ramai kelas vokal yang boleh digunakan untuk memantapkan teknik vokal. Dari masa ke semasa, perkara ini sangat membantu guru vokal dan kelas vokal.

“Tidak ketinggalan juga pertambahan lagu-lagu pertandingan yang berkualiti, menyebabkan peserta mampu memperlihatkan bakat, kelebihan dan teknik mereka untuk mendapat perhatian juri.

“Kemungkinan usaha saya untuk menambah jumlah hadiah bagi johan, naib johan dan tempat ketiga turut mendorong peserta lebih berusaha memantapkan persembahan,” katanya.

Selain itu, penambahan peserta turut dilakukan dalam kategori Dazanak dan Songkotoun yang pada mulanya hanya mengambil tiga orang sahaja kerana tidak ramai yang cukup baik dan layak.

“Namun, setelah Dazanak semakin berkembang, ramai peserta yang bagus dan layak. Saya terpaksa menambah dua lagi, menjadikan jumlahnya lima peserta. Setelah menilai kembali, masih ramai yang bagus, maka saya tambah dua lagi sehingga menjadi tujuh peserta. Begitu juga untuk Songkotoun,” kata Evaristus ketika menjelaskan kejutan perkembangan terbaru semalam kepada wartawan TvSabah.

Evaristus mengakhiri wawancara dengan pesanan kepada finalis: “Pesanan saya kepada semua 12 finalis – jaga kesihatan. Jangan anggap lawan sebagai musuh. Yang paling penting, jangan buat kesilapan seperti lupa lirik atau lupa tempo. Dan yang terakhir, bertanding secara sihat – jangan ada sabotaj sesama rakan peserta. Itulah maksud saya.”

12 sugandoi 1

Keputusan rasmi 12 finalis pertandingan separuh akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2026 adalah seperti berikut: Arlone Milon (Pitas), Harvard Sandar (Klang Valley), Velerice Paiman (Tongod), Sadri Bin Masrani (Penampang), Christal Ann Stephen (Tuaran), Beatrice La Salle (Putrajaya), Hannah Jean Roney (Bandaraya), Adsa Shazniafira B. Suhaidi (Keningau), Farahzidah Binti Husrin (Beluran), Reynn Raphiel (Tamparuli), Elelijah Bianus (Ranau) dan Earl Isaac Mitzler Fredolin (Karambunai).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal