Gelvia Vanessa Jenny, pewaris bahasa ibunda yang berani bersuara

Gelvia UNK Papar 2026 normal colour scaled

By David E.

“Saya anak Kadazan, dan saya akan terus bercakap bahasaku,” kata gadis manis yang mempertahankan warisan bahasa ibunda sebagai warisan turun-temurun. Dari daerah Papar, muncul suara menggesa wanita membina nilai keperibadian, mengejar ilmu, berjati diri, memiliki hati untuk membantu dan menjadi inspirasi kepada yang lain.

Kata-kata ini dari Unduk Ngadau Kaamatan Daerah Papar 2026, Gelvia Vanessa Jenny, yang berusia 23 tahun dan anak ketiga daripada lapan beradik.

Gelvia2c

Leleng, nama kebiasaan bagi Gelvia, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya, kini sedang menanti panggilan kerja sebagai guru. Sambil tersenyum Gelvia berceloteh, “Nanti saya buat Pengajian KDMR.”.

Membesarkan anak seramai lapan orang sememangnya cukup mencabar kepada ayahnya sebagai pekebun getah, dan ibunya sebagai pengawal keselamatan. Namun, berkat didikan ibubapa, anak-anaknya terpilih sebagai penerima biasiswa pendidikan.

“Terima kasih ibu dan ayah kerana mendidik kami dengan penuh tanggungjawab, dan memberi nasihat supaya kami berusaha untuk mengubah hidup menjadi lebih baik,” ujarnya.

Sudah tentunya Gelvia mendapat inspirasi menyertai pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan kerana dikelilingi unduk-unduk di dalam keluarganya sendiri. Pastinya masih ramai yang mengenal UNK Papar 2024 Magdalen Jenny, dan tempat ketiga UNK Peringkat Negeri 2025, Celarin Jenny.

Tidak disangka, Gelvia akan bertembung dengan kakaknya Vivi Yana Jenny UNK Kepayan 2026 di Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri pada 31 Mei nanti.

Hosiani James Joimis UNK Negeri 2018 dan Fransisca Ester Nain UNK Negeri 2019 menjadi ikon utama Gelvia.

“Hosiani ialah seorang yang kuat berusaha, sebab banyak benda yang dia buat dan kongsi kepada orang ramai. Contohnya, berniaga secara online dengan produk sendiri, seorang penyanyi, dan selalu update atau post perkara berkualiti di media sosial – yang memberi inspirasi terutama, sebagai wanita.

“Fransisca – saya suka dengan pembawaan dirinya yang humble dan selalu bagi kata-kata semangat, kalau orang bertanya. Saya rasa dia seorang wanita yang kuat berusaha dan mementingkan pendidikan tinggi,” kata Gelvia.

Ketika disebut tentang mentor, Gelvia menyebut Ed Haqim yang selalu beri bimbingan, tunjuk ajar dan plan persiapan awal secara berjadual.

“Salah satu cabaran ialah mesti paksa diri bercakap Kadazan setiap hari. Saya mahu biasakan diri, di mana sahaja asalkan orang itu memang berbahasa Kadazan. Walaupun ada kesilapan, mesti bercakap juga,” ujar Gelvia.

Gelvia juga memaksa diri bercakap dalam bahasa Kadazan sepenuhnya di rumah, sepanjang masa.

“Cabaran paling besar ialah bila saya perlu melatih diri untuk memberanikan diri berdiri di pentas dengan rasa nervous yang boleh dikawal. Sebab sebelum ini memang tidak berani, tambah lagi kalau bercakap, suara pun sampai begegar,” ujar Gelvia.

Kini persiapannya lebih banyak untuk pre-judging dan cara menjawab semasa final. Gelvia juga lebih banyak membaca untuk pengetahuan am dan perkara-perkara yang berkaitan.

“Cabaran sekarang ialah saya perlu bersaing dengan diri sendiri, menjadi lebih baik daripada persembahan sebelum ini. Kalau dari sudut lain, saya rasa semua ok. Syukur, semua lancar untuk persiapan,” katanya.

Sokongan keluarga amat kuat dan mereka tidak pernah berhenti bertanya bagaimana mereka dapat membantu persiapan Gelvia. Manager, yang juga mentor, sentiasa memberi maklumat terkini dan perkara-perkara yang perlu dipelajari untuk membiasakan diri.

“Cabaran paling besar setiap hari ialah menguatkan mindset dan semangat melawan rasa takut. Keraguan dan keyakinan diri yang saling berperang sehingga kadangkala boleh terasa seperti mahu berhenti buat persiapan. Tetapi saya mesti kuatkan semangat untuk berlatih setiap hari,” kata Gelvia.

Gelvia3b

Leleng, dari segi kreativiti seni hanya pandai menari suka-suka dan bukan bentuk persembahan, tetapi lebih cenderung dalam aktiviti luar dan bersukan. “Saya suka main netball, hiking dan jogging,” ujarnya dengan tawa kecil.

“Perasaan saya selepas diumumkan sebagai pemenang – saya sangat bersyukur dan gembira karana saya percaya Tuhan menjawab doa saya,” ujarnya dengan penuh perasaan.

Ramai sangka menyertai Unduk Ngadau semata-mata mahukan mahkota, tetapi menurut Gelvia, kemenangan terbesarnya ialah ketika berjaya melalui sesi Q&A dengan baik.

“Saya puas hati sebab dapat buat lebih baik dari sebelum ini. Saya juga berjaya melawan rasa takut untuk berdiri di atas pentas,” ujarnya.

Selepas menang dan memegang peranan sebagai UNK Daerah Papar, Gelvia merasa bertanggungjawab untuk mendorong dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mendekati, mengenal dan mengaplikasikan warisan budaya terutamanya bahasa ibunda.

“Semestinya saya juga bertanggungjawab untuk mempelajarinya, kemudian memperkenalkan warisan budaya daerah Papar kepada orang ramai.

“Saya rasa saya juga bertanggungjawab memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menjadi lebih berani dengan mengambil peluang seperti menyertai aktiviti kebudayaan ini,” kata Gelvia.

Pasti kita tertanya-tanya, sebagai Unduk Ngadau, mengapa Gelvia menyuarakan hasrat untuk memperkasakan bahasa ibunda.

“Sebab utamanya, bahasa ibunda ini menjadi salah satu kebanggaan saya sebagai anak Kadazandusun.

“Saya rasa sangat sayang jika saya tidak fasih betutur bahasa Kadazan sedangkan bapa saya tidak pernah berputus asa untuk membiasakan kami bercakap Kadazan sejak kecil. Jadi saya fikir, kenapa tidak saya gunakan peluang yang besar dan percuma ini untuk belajar bahasa ibunda dengan lebih dalam.

“Sekarang ini, saya melihat bahawa anak muda tidak begitu risau dengan ancaman kepupusan bahasa ibunda ini. Jadi mereka tidak begitu ambil berat untuk mempelajari bahasa ibunda ini.

“Saya ambil contoh dari adik-adik saya sendiri saja, mereka tidak berusaha untuk bercakap Kadazan sebagai nilai tambah kepada kemampuan diri mereka, sebab bahasa ini mungkin tidak penting bagi mereka,” kata Gelvia dengan penuh kesedaran.

Antara mengejar rezeki dengan mengejar populariti dalam pertandingan sebegini, Gelvia berkata, “Rezeki itu datang bila kita berusaha bersungguh untuk mencapai apa yang kita impikan dengan niat yang betul. Saya percaya dengan kata-kata ini, bermula dengan satu langkah satu pintu rezeki akan dibuka untuk orang yang berusaha dan begitulah langkah seterusnya. Jadi, usaha saya ini adalah untuk mencapai impian saya yang mana saya percaya akan memberi rezeki yang seterusnya kepada saya, bukan untuk mengejar populariti.”

Sama ada berjaya di peringkat negeri atau tidak, Gelvia sudah dinobatkan sebagai UNK Daerah Papar 2026. Sudah tentu, ramai yang ingin tahu Gelvia Beyond UNK 2026.

“Ok, selepas UNK 2026 ini saya tetap mahu menjadi diri saya sendiri dalam versi yang lebih baik dan mampu menjadi inspirasi kepada orang lain. Saya juga mahu kekal menghidupkan warisan budaya ini bukan sahaja di bulan kaamatan tetapi sepanjang masa.

“Semestinya saya percaya ini menjadi batu loncatan saya untuk mencapai impian saya di masa akan datang. Visi selepas ini adalah berusaha mereaslisasikan impian kerjaya saya terlebih dahulu di samping menjalankan tanggungjawab sebagai UNK Papar 2026.

“Saya akan berusaha untuk menjadi inspirasi wanita yang berpendidikan tinggi, mampu menyokong orang lain mencapai impian di samping berusaha dan berani meneroka lebih banyak perkara untuk meningkatkan ekonomi sendiri sehingga mampu menbantu orang lain.

Gelvia Vanessa Jenny memberi definisi jitu dan penting, “Unduk Ngadau Sejati hari ini bukan hanya tentang paras rupa, tetapi tentang keperibadian dan nilai yang dibawa. Dia ialah wanita yang berilmu, berjati diri dan mempunyai hati untuk membantu serta memberi inspirasi kepada orang lain. Seorang Unduk Ngadau Sejati juga berani menjadi suara wanita dan mempunyai pendirian yang teguh.”

Kata-kata yang Gelvia mahu berikan kepada wanita seawal usia 13 tahun, “Jadilah diri sendiri. Sentiasa bersyukur, menghargai dan menggunakan peluang yang ada dengan sepenuhnya untuk menjadi lebih baik, meningkatkan ilmu dan kualiti diri.”

Gelvia

Gelvia Vanessa Jenny bukan hanya sekadar nama dalam senarai peserta Unduk Ngadau. Dia adalah suara generasi baru yang berani mempertahankan identity, melawan rasa takut, dan mengubah warisan menjadi gerakan. Sama ada di pentas negeri nanti dia berdiri sebagai juara atau tidak, Leleng sudah menangi pertempuran besar: melawan dirinya sendiri, dan memilih untuk terus berkata, “Saya anak Kadazan, dan saya akan terus becakap bahasaku.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal