KOTA BELUD: 18 Mei 2026 – Taman Perindustrian Kota Belud (KBIP) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Sabah apabila pembangunan kawasan itu berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan KBIP merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluaskan sektor perindustrian menerusi pembukaan tiga taman perindustrian baharu di Beaufort, Kudat dan Kota Belud.
Beliau berkata, daripada lebih 13,000 ekar kawasan yang dikenal pasti pada peringkat awal, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membangunkan kira-kira 3,300 ekar bagi projek KBIP.
“Ketika ini proses perolehan kawasan melibatkan tanah kerajaan dan tanah lain sedang dilaksanakan dan sudah tentu ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun,” katanya.
Menurut beliau, kementerian pada masa sama giat menjalankan usaha promosi bagi menarik minat pelabur terhadap taman-taman perindustrian yang telah diputuskan kabinet negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud di Buhavan Square, Kota Belud, kelmarin.
Langkah promosi yang dilaksanakan melalui lawatan pelaburan ke Taiwan dan China telah menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan menerima komitmen awal daripada syarikat pengeluar kenderaan dari China, Dongfeng Motor, yang bekerjasama dengan syarikat tempatan Sabah, Kim Teck Cheong Berhad.
Beliau berkata syarikat tersebut telah mengemukakan permohonan sekitar 200 ekar tanah di kawasan KBIP bagi membangunkan kilang pemasangan kenderaan.
Selain itu, sebuah syarikat yang terlibat dalam sektor minyak dan gas turut dilaporkan memohon kira-kira 50 ekar tanah di kawasan sama.
Ewon turut menegaskan usaha menarik pelaburan asing akan diteruskan termasuk menerusi lawatan kerja ke Korea Selatan pada 8 hingga 12 Jun depan.
Katanya, tiga syarikat dari negara itu telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasi mereka di Sabah dan pihaknya akan berusaha meyakinkan mereka agar memilih Kota Belud sebagai destinasi pelaburan.
Pembangunan KBIP dilihat bukan sahaja berpotensi meningkatkan aktiviti ekonomi setempat, malah mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, khususnya di kawasan Kadamaian, Usukan, Tempasuk dan Pintasan.
