KOTA KINABALU: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedang merangka kerjasama strategik bersama kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif dan produksi perfileman di kedua-dua wilayah itu.
Pengerusi FINAS, Dato Hans Isaac berkata, pihaknya kini dalam proses menyelaraskan inisiatif persekutuan dan negeri, termasuk aspek pembiayaan dan insentif penggambaran, bertujuan menarik lebih banyak produksi tempatan dan antarabangsa ke Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, FINAS sedang meneliti cadangan untuk menghubungkan insentif sedia ada seperti Film in Malaysia Incentive (FIMI) dengan insentif peringkat negeri, sekali gus membolehkan penerbit menikmati manfaat berganda sekiranya menjalankan penggambaran di Sabah atau Sarawak.
Katanya, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk rebat tambahan yang melibatkan kos logistik, penerbangan dan perbelanjaan produksi yang digunakan di kedua-dua negeri tersebut.
Perkara ini selaras dengan model insentif yang turut dilaksanakan di beberapa negara seperti Australia.
Dato’ Hans Isaac berkata demikian ketika ditemui selepas sesi tayangan pratonton dokumentari cereka ‘Stesen Lima’ arahan Chester Pang yang berlangsung di Citymall, Kota Kinabalu. Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Skim Wajib Tayang, Dato’ Afdlin Shauki, Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Muhammad Ar-Riyyan Bin Mohamad Roslan, Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah, Suzanne Bingkasan, serta Ketua Unit Kreatif TVS, Ryan Lee.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan industri kreatif telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Semua bentuk bantuan termasuk dana, latihan dan program pembangunan belia kreatif bukan sahaja akan tertumpu di Semenanjung, malah turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa FINAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan industri kreatif di Sabah dan Sarawak, di samping menyokong usaha penyatuan persatuan di bawah Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia(GAFEMA).
GAFEMA memainkan peranan penting dalam bekerjasama dengan FINAS untuk memperkukuh ekosistem perfileman tempatan.
Mengulas mengenai kesan ketidaktentuan geopolitik, termasuk konflik Iran-Amerika Syarikat, terhadap industri perfileman, beliau mengakui bahawa situasi tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada perancangan antarabangsa FINAS, terutamanya melalui FIMI.
“Fokus utama FINAS ketika ini adalah memastikan industri kreatif tempatan terus berkembang dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penggiat industri dalam negara,” tegasnya.
