TAWAU: 7 Mei 2026 – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang beroperasi di Sabah selepas menahan 28 warga asing dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Sri Indah, hari ini.
Operasi bersepadu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Daerah Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force KDNKA, hasil risikan terhadap kegiatan sindiket terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, semua individu yang ditahan terdiri dari 27 warga China dan seorang warga Vietnam, berusia antara 21 hingga 51 tahun.
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi beberapa aplikasi komunikasi pesanan segera dengan menyasarkan warga Korea sebagai mangsa.
“Siasatan awal mendapati premis yang diserbu dijadikan pusat operasi, tempat tinggal dan lokasi latihan bagi ahli sindiket untuk menjalankan aktiviti penipuan atas talian,” katanya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 33 unit telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem internet dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sekitar RM50,000.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, rangkaian sindiket yang terlibat, dan jumlah sebenar mangsa dan kerugian dialami.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala semua suspek telah direman bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut.
