Kerajaan Sabah harus bertindak tegas tuntut hak-hak Sabah, tubuhkan MARTS – Jeffrey

36295621147

KOTA KINABALU: 28 April 2026 – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, menggesa Kerajaan Sabah supaya bertindak tegas dan tidak lagi bertakuk dalam menuntut hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk Pemberian Khas Hasil Bersih 40%.

Dalam ucapan perbahasan Dasar Kerajaan 2026 di Dewan Undangan Negeri hari ini, Jeffrey menyifatkan peruntukan pembangunan Persekutuan sebanyak RM12.024 bilion untuk RMK-13 (atau RM2.4 bilion setahun) sebagai “amat kecil” berbanding hak 40% yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun saya amat sedih sekali sebab hak 40% ini tidak disentuh sama sekali di dalam ucapan dasar sedangkan yang saya tahu Sabah menyumbang tidak kurang daripada 50 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Jelasnya, hasil 40% tersebut boleh mencecah RM20 bilion setahun dan boleh membantu Sabah melaksanakan pembangunan pesat mengikut acuan sendiri demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat, justeru beliau dengan tegas mengatakan, “Kita perlu menuntut ini dengan sewajarnya!”

“Malangnya walaupun Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan hak 40% adalah hak berperlembagaan Sabah, tuntutan pembayaran tidak dapat ditunaikan disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.

Oleh kerana Kerajaan Pusat sebenarnya menghormati seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, dan tidak mempertikaikan 40% hak Sabah, Jeffrey menegaskan, “Wajarlah Sabah mengambil tindakan proaktif untuk melaksanakan hak ini mengikut apa yang ada dalam Perjanjian Malaysia, Artikel 8 yang memberi kuasa kepada kita untuk mengambil tindakan, sama ada tindakan undang-undang, atau tindakan administrative, atau apapun tindakan untuk melaksanakan hak dan jaminan yang belum dilaksanakan.”

Jeffrey menggesa semua ADUN tanpa mengira blok kerajaan dan pembangkang supaya menyokong usul berkaitan tuntutan berkenaan bagi memperkukuh kedudukan Sabah dalam rundingan dengan Persekutuan.

“Jika perlu, bawa usul di Dewan ini supaya hak 40 peratus dapat disokong sepenuhnya oleh semua wakil rakyat yang mengutamakan Sabah,” katanya.

Jeffrey turut mencadangkan satu mekanisme khusus diwujudkan bagi menjejak dan memantau hasil yang diperoleh Persekutuan dari Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pengiraan 40 peratus itu perlu dibuat setiap tahun kerana ia merupakan hak berterusan Sabah dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada semakan lima tahun di bawah Perkara 112D.

Bagi memastikan tuntutan 40% tidak sekadar retorik, beliau mencadangkan penubuhan Sistem Pengesanan dan Pemantauan Hasil MA63 (MA63 Revenue Tracking System – MARTS) yang menggunakan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, sistem MARTS akan mengesan, memantau dan mengagihkan setiap bayaran hasil yang diperoleh Persekutuan dari Sabah, justeru memudahkan penentuan pembahagian 40% kepada Sabah dan 60% kepada Kerajaan Persekutuan.

“Saya bersedia memikul tanggungjawab untuk membangunkan sistem MARTS ini dengan penglibatan wakil rakyat dari kedua-dua pihak demi kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal